FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Bukit Mertajam: Polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian yang mampu mengaut keuntungan harian mencecah ribuan ringgit selepas menahan empat lelaki dalam serbuan di sebuah kondomonium mewah di Jalan Casa Residensi, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, serbuan dilakukan jam 1 tengah hari hasil maklumat dan risikan sejak seminggu lalu dan menahan empat lelaki tempatan berusia 36 hingga 37 tahun.

"Serbuan itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), JSJ Pulau Pinang dan siasatan awal mendapati premis yang disewa sindiket tersebut dijadikan 'calling center' atau pusat panggilan untuk pertaruhan perjudian online (dalam talian).

"Sindiket itu menyasarkan penduduk tempatan terutama warga emas dan warga Indonesia sebagai pelanggan dengan menggunakan beberapa laman web (sesawang) perjudian online," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rahimi berkata, sindiket itu menjadikan kondomonium mewah itu sebagai lokasi pusat panggilan sejak sebulan lalu dan mereka berpindah-randah dari satu lokasi ke lokasi yang lain bagi mengelak di kesan pihak berkuasa.

Menurutnya, siasatan juga mendapati sindiket itu dipercayai beroperasi 24 jam sehari dengan pekerjanya bekerja secara shif dan menerima gaji RM3,000 setiap bulan.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan antaranya tiga monitor komputer, dua unit pemprosesan pusat komputer (CPU), modem, router dan dokumen serta peralatan lain yang dipercayai digunakan sindiket dalam operasi judi dalam talian itu.

"Sindiket itu dipercayai mengaut keuntungan ribuan ringgit sehari daripada kegiatan perjudian online tersebut dan semua empat lelaki tersebut direman untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1)(a), Seksyen 4(1)(b) serta Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Katanya, polis memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terbabit dengan kegiatan perjudian kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur serta pelanggan yang bermain atau berada di dalam premis yang menjalankan kegiatan haram itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 7:48 PM