ABD Khalid (kanan) dalam serbuan di kondominum mewah di Persiaran Kewajipan yang digunakan sindiket perjudian untuk mempromosi kegiatan berkenaan. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
ABD Khalid (kanan) dalam serbuan di kondominum mewah di Persiaran Kewajipan yang digunakan sindiket perjudian untuk mempromosi kegiatan berkenaan. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Wanita hamil sembilan bulan antara 15 ahli sindiket perjudian dalam talian yang ditahan polis dalam tiga serbuan di kondominum mewah di Persiaran Kewajipan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, dalam serbuan itu, empat wanita warga Indonesia berusia antara 20 hingga 27 tahun didapati sedang leka mengendalikan pertaruhan judi sebelum menyedari kehadiran polis.

"Dalam serbuan di rumah pertama, kita menahan sepasang suami isteri warga tempatan di mana wanita berkenaan sedang sarat hamil serta enam individu lain.

"Susulan tangkapan itu membawa pasukan serbuan ke rumah kedua dan ketiga di kondominium yang sama tetapi berlainan blok dan masing-masing membawa kepada penahanan individu lain di setiap premis," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.

Menurutnya, turut dirampas dalam operasi terbabit ialah 20 komputer dan belasan telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian dalam talian.

Beliau berkata, kesemua rumah yang diserbu menempatkan pelbagai peralatan komputer digunakan bagi memantau selain mengendalikan transaksi pertaruhan.

"Hasil siasatan mendapati pekerja terbabit diupah dengan bayaran antara RM1,000 hingga RM1,800 sebulan untuk melakukan kegiatan itu disamping tidak menolak mereka turut menerima komisen hasil kutipan wang pertaruhan.

"Sindiket berkenaan juga mengaut keuntungan mencecah RM200,000 sebulan bagi kegiatan itu," katanya.

Abd Khalid berkata, polis juga sedang memburu dalang utama sindiket berkenaan yang merupakan seorang lelaki warga tempatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41a, Seksyen 41 (b) dan Seksyen 41 c Akta Rumah Judi Terbuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 5:59 PM