Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sasar 100 pemain judi warga Hong Kong setiap hari. Itu dilakukan sindiket penipuan dan perjudian dalam talian yang menjadikan negara ini sebagai 'markas' operasi mereka.

Kegiatan yang beroperasi di kondominium mewah di Desa Park City akhirnya tumpas apabila polis menahan 21 individu, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, semua individu terbabit ditahan menerusi serbuan dijalankan pihaknya selepas risikan dijalankan.

"Semua suspek warga tempatan terdiri daripada 18 lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 45 tahun dipercayai bergiat aktif sebagai pekerja sindiket sejak sebulan lalu.

"Seorang daripada suspek yang ditahan adalah penyelia manakala 20 orang lagi berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan, "katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Eng Lai berkata, modus operandi sindiket ini ialah mencari pelanggan yang dipromosikan di media sosial bagi membuka permainan akaun judi serta judi online melalui laman web yang dibekalkan penyelia.

"Sindiket ini akan beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam setiap hari.

"Pemain kemudian diarahkan memasukkan wang Hong Kong Dollar (HKD) dalam akaun judi disediakan bagi mendapatkan kredit untuk bermain judi, "katanya.

TELEFON pintar yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Desa Park City, di sini Ahad lalu. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
TELEFON pintar yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Desa Park City, di sini Ahad lalu. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.

Menurutnya, setiap pelanggan dikehendaki memasukkan wang minimum sebanyak 100HKD (RM56) sebagai syarat pendaftaran ahli.

"Setiap ahli perlu mencari sekurang-kurangnya lima mangsa dan sindiket ini berjaya mengaut keuntungan sekitar 600,000 HKD (RM336,314) sepanjang sebulan beroperasi.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas 21 komputer, 65 telefon pintar dan beberapa alatan menggunakan judi, "katanya.

Katanya, semua suspek kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di talian 03-40482222, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 11:40 AM