Nur Izzati Mohamad


POLIS menumpaskan dua sindiket perjudian dalam talian serta pelaburan saham tidak berlesen dalam serbuan di Nibong Tebal dan Georgetown pada Sabtu lalu.

Dalam serbuan itu, seramai 109 individu yang terbabit dalam kegiatan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya menyerbu sebuah kilang perabot di Sungai Bakap, Nibong Tebal yang didapati melakukan kegiatan haram itu sejak sebulan lalu.

"Dalam serbuan 3.30 petang itu, polis menahan 99 pekerja berusia 19 hingga 52 tahun termasuk 50 lelaki dan tujuh perempuan warga China yang ditawarkan gaji sebanyak RM3,000 sebulan.

"Siasatan juga mendapati sindiket yang menjadikan negara ini sebagai pusat operasi mensasarkan 'mangsa' dari China di mana dalangnya adalah rakyat negara itu yang sedang diburu pihak polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di Nibong Tebal, hari ini.

Katanya, siasatan awal polis mendapati sindiket itu mampu mengaut keuntungan mencecah ratusan ribu ringgit seminggu dan jutaan ringgit dalam tempoh sebulan.

"Kita turut merampas 97 set komputer dan 291 unit telefon bimbit yang digunakan sindiket ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Sahabudin berkata, pihak polis turut menyerbu tiga kondominium di Jelutong, Georgetown sebelum menahan tujuh lelaki warga China dan tiga warga tempatan berusia 20 hingga 61 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan sama pada 1.30 tengah hari.

"Polis merampas 419 unit telefon bimbit bersama dua komputer, enam komputer riba dan empat kereta mewah daripada sindiket berkenaan yang bergiat aktif sejak setahun lalu.

"Siasatan mendapati sindiket yang didalangi lelaki tempatan berusia 61 tahun itu membayar gaji pekerja antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

"Sindiket yang mengiklan aktiviti perjudian melalui aplikasi WhatsApp dan Wechat mampu meraih pendapatan antara RM100,000 hingga RM200,000 sebulan," katanya.

Katanya, kesemua suspek kini direman bagi siasatan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen 1959/63.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan rampasan selepas kejayaan polis menumpaskan sindiket judi atas talian dalam Op Dadu Khas di Jelutong dan Sungai Bakap serta kes culik ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS), Jawi di sini. FOTO DANIAL SAAD
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan rampasan selepas kejayaan polis menumpaskan sindiket judi atas talian dalam Op Dadu Khas di Jelutong dan Sungai Bakap serta kes culik ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS), Jawi di sini. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 3:13 PM