ZULKIFLI (kiri) menyerahkan sumbangan kurma ajwa pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kurma Ajwa dan Air Mineral kepada masjid-masjid Wilayah Persekutuan. FOTO Bernama
ZULKIFLI (kiri) menyerahkan sumbangan kurma ajwa pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kurma Ajwa dan Air Mineral kepada masjid-masjid Wilayah Persekutuan. FOTO Bernama
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kerajaan dijangka akan mengadakan perbincangan dengan Arab Saudi, 9 April ini, berhubung syarat khusus penyelenggaraan termasuk prosedur operasi standard (SOP) bagi jemaah menunaikan haji serta umrah tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mengadakan pertemuan itu dan akan memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) dimeterai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Zulkifli berkata, melalui MoU itu, ia dijangka dapat memudahkan proses prapelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

"Perbincangan itu nanti turut membabitkan sama ada kerajaan Arab Saudi membenarkan kuota penambahan 10,000 jemaah haji tahun ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kurma Ajwa dan Air Mineral di Masjid Mahmmoodiah Presint 18, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim's Dewina Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

Zulkifli berkata, pihaknya berharap dapat menoktahkan kejayaan dalam MoU yang dibuat sebelum ini pada pertemuan itu nanti, selain mengerat serta mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi dalam pembangunan ummah serta kepentingan kedua-dua negara.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli memaklumkan beliau dilantik sebagai ahli The Assembly of Muslim Jurists of Amerika (AMJA) baru-baru ini.

Katanya, pelantikan itu menjadikan beliau satu-satunya wakil Asia serta menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah besar untuk membawa nama Malaysia sebagai negara Islam contoh kepada dunia barat, khususnya Amerika Syarikat.

"AMJA ini adalah satu badan kajian ilmiah Fekah yang dianggotai ulama dunia mengenai kaedah melihat anak bulan (falaq) serta berkongsi pengalaman yang diadakan di Malaysia bagi melihat anak bulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 7:03 PM