Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kerajaan optimis jumlah jemaah haji negara akan meningkat dan ini membolehkan masa menunggu untuk menunaikan ibadah itu dapat dipendekkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, ia selepas kerajaan Arab Saudi di bawah perancangan ekonominya merancang meningkatkan jumlah jemaah haji kepada lima juta orang menjelang 2030.

"Apapun usaha untuk memendekkan tempoh menunggu menunaikan haji, ia tidak boleh lari daripada keputusan pihak kerajaan Arab Saudi meluluskan kuota haji tahunan untuk setiap negara termasuk Malaysia.

"Pada masa sama, kerajaan Arab Saudi di bawah perancangan ekonomi Visi 2030 sedang merancang untuk meningkatkan jumlah jemaah haji kepada lima juta orang menjelang 2030," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai mekanisme yang dilaksanakan kerajaan bagi memendekkan tempoh giliran menunggu jemaah haji dan perancangan bagi mempercepatkan giliran jemaah yang berusia atau warga emas.

Zulkifli berkata, kuota rasmi negara pada musim haji 2024 adalah seramai 31,600 jemaah.

"Kerajaan Malaysia mengambil inisiatif membuat permohonan kepada kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan jumlah itu berdasarkan perangkaan terkini negara.

"Di samping itu, kerajaan turut memohon kuota tambahan setiap tahun, namun permohonan kajian semula kuota tahunan dan pemberian kuota tambahan adalah tertakluk kepada keputusan kerajaan Arab Saudi," katanya.

Menurutnya, sehingga kini, seramai sembilan orang bakal haji kategori B40 dan 50 orang bakal haji kategori M40 membuat bayaran penuh.

"Manakala sejumlah 221 orang lagi bersetuju untuk menerima sebahagian saja dari bantuan kewangan haji.

"Jumlah keseluruhan jemaah haji yang menolak tawaran bantuan kewangan haji akan diketahui selepas selesai semua bakal haji menjawab tawaran tunai haji," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 3:11 PM