Dr Zulkifli Mohd Al Bakri menyerahkan mok cek Musaadah COVID 19 sebanyak RM10,000 kepada Pengarah IQDAR, Syeikh Kadri Abdul Hamid. Foto Noorazura Abdul Rahman
Dr Zulkifli Mohd Al Bakri menyerahkan mok cek Musaadah COVID 19 sebanyak RM10,000 kepada Pengarah IQDAR, Syeikh Kadri Abdul Hamid. Foto Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan akan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) Arab Saudi sebagai persediaan menghantar jemaah haji dan umrah ke Tanah Suci itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri berkata, beliau akan ke Arab Saudi bagi membincangkan SOP antara kedua-dua negara (Malaysia-Arab Saudi).

"Insya-Allah saya sendiri akan pergi dalam seminggu dua lagi ke sana untuk melihat dan membincangkan SOP sama ada di pihak negara kita dan Arab Saudi.

"Tarikh saya ke sana (Arab Saufi) belum dapat ditentukan lagi, ulasan panjang lebar mengenainya akan diberi selepas pulang," katanya selepas majlis Lawatan Mahabbah dan pelancaran Dana Wajar Yayasan Islam Negeri Kedah di Institut al-Quran Darul Aman (IQDAR), di sini, hari ini.

Katanya, SOP berkenaan perlu diserahkan kepada kerajaan Arab Saudi untuk diteliti dan mendapat pengesahan bagi mengelak jemaah haji Malaysia dihalang daripada mengerjakan haji pada tahun ini.

Ketika ditanya mengenai suntikan vaksin kepada jemaah, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menentukan garis panduan bersesuaian.

Bagaimanapun katanya, ia hanya akan dibuat selepas pihaknya mendapat keputusan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi terlebih dahulu.

"Mosti dan KKM secara umumnya sedia memberi kerjasama, tapi kita perlu dapatkan dahulu keputusan dan syarat-syarat ditetapkan Arab Saudi.

"Selepas itu kita akan berusaha untuk mematuhi syarat-syarat itu semaksimum mungkin untuk jemaah," katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq al-Rabiah dilaporkan berkata, antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai depan ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 2:34 PM