MASJIDILHARAM. FOTO fail AFP
MASJIDILHARAM. FOTO fail AFP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Penangguhan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan umrah akan diteruskan bagi tempoh sebulan lagi bermula 8 Januari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan mengenakan kuarantin wajib di stesen kuarantin bagi jemaah umrah yang baru pulang dari Arab Saudi.

"Penilaian risiko dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mempertimbangkan pembukaan semula.

"KKM bersama kementerian dan agensi-agensi berkaitan akan mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) umrah antaranya pengambilan dos penggalak sebagai syarat mengerjakan umrah dan pengurusan kes dan kontak rapat di Arab Saudi.

"Selain itu, pemantauan status kesihatan jemaah umrah di Arab Saudi; memperkukuhkan tanggungjawab kepada agensi pelancongan; memastikan pematuhan SOP umrah oleh jemaah dan petugas umrah serta melaporkan kes positif serta kontak rapat kepada pihak KKM di Malaysia," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Mengulas berhubung keputusan diambil, Khairy berkata, berdasarkan data 85 peratus dari 1,842 kes positif Covid-19 yang dilaporkan adalah individu yang kembali dari Arab Saudi.

"Ini adalah data yang dikemukakan kepada jemaah menteri semalam, yang menunjukkan bahawa kes positif tinggi adalah daripada pengembara yang kembali dari Arab Saudi.

"Yang kedua ialah kes-kes itu paling banyak datang dari pengembara yang kembali mengerjakan umrah, itu fakta dan sebab itu KKM buat keputusan untuk kita tangguh sementara sahaja perjalanan mengerjakan umrah," katanya.

Menurutnya, sebagai contoh terdapat satu kes membimbangkan iaitu seramai 91 jemaah umrah dari satu agensi pelancongan, 55 daripada mereka positif Covid-19 ketika ujian pra-pelepasan di Arab Saudi.

"36 daripadanya adalah kontak rapat, tetapi naik pesawat dan tidak diasingkan, apabila kembali ke negara ini 24 daripada mereka disahkan positif malah empat daripadanya adalah varian Omicron.

"Ini satu sebab kenapa kita memperketatkan SOP, saya juga ingin mengingatkan mana-mana individu yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah supaya mematuhi SOP ditetapkan," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 5:28 PM