GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Murnaena Muhammad Nasir
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Agensi pengurusan umrah sudah bersiap sedia dengan polisi termasuk prosedur operasi standard (SOP) baharu dalam mengendalikan jemaah untuk menunaikan ibadah itu.

Pengarah Urusan Kurma Travel & Tours Sdn Bhd, Dr Fathir Badri berkata, urusan pengendalian umrah akan dilakukan mengikut norma baharu selepas pandemik Covid-19 melanda dunia.

"Memandangkan kebenaran bekerja di pejabat sudah dilonggarkan, jadi ia sedikit sebanyak memudahkan urusan dalam perbincangan bersama kakitangan

"Kami sudah mendapat gambaran SOP yang bakal diguna pakai, namun ia pasti berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi terkini di Malaysia atau di Arab Saudi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, antara SOP baharu yang perlu diberi perhatian termasuk memastikan jemaah menerima jenis vaksin yang dibenarkan kerajaan Arab Saudi.

"Kami akan memastikan semua jemaah mematuhi dan memahami SOP yang ditetapkan Arab Saudi ketika mengerjakan umrah dari awal hingga akhir.

"Dengan penambahan SOP ketat ini, harga pakej umrah meningkat antara RM2,000 hingga RM3,000 berbanding harga lantai RM4,900 yang ditetapkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebelum pandemik," katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (Saffta) turut menasihatkan orang ramai agar memilih agensi pengurusan umrah yang berdaftar di bawah Motac bagi mengelak isu penipuan berlaku.

"Jangan terpedaya dengan tawaran pakej umrah dengan harga tidak munasabah dan sepatutnya tiada sebarang deposit perlu dikeluarkan jika mengikut kepada syarat ditetapkan oleh Motac.

"Jika perkara ini berlaku, saya nasihatkan jangan percaya dan perlulah berhati-hati," katanya.

Sementara itu, Pengurus El Izzah Travel & Tours, Mohd Faizul Mohd Salleh berkata, pihaknya juga bersedia mematuhi semua peraturan dan SOP baharu yang ditetapkan kerajaan dan pihak berkuasa Arab Saudi.

"Kami yakin semua pihak memahami tentang perkembangan semasa yang berlaku. Biarpun SOP yang bakal dikenakan pihak berkuasa kedua-dua negara mungkin akan membabitkan peningkatan kos dan juga berkaitan pergerakan jemaah.

"Saya yakin semua pihak akan memberikan kerjasama demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan terjaga dan terpelihara," katanya.

Media pada 21 September lalu melaporkan beberapa SOP dan syarat tertentu sedang dirangka sebelum kerajaan membenarkan semula ibadah umrah menjelang penghujung tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dipetik berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai agensi penyelia operasi ibadat di Tanah Suci sudah dimaklumkan dengan perkembangan terkini berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 1:15 PM