Sulaiman menyarungkan jaket kepada penunggang motosikal Warong Rider selepas melancarkan program itu. FOTO AMIR MAMAT.
Sulaiman menyarungkan jaket kepada penunggang motosikal Warong Rider selepas melancarkan program itu. FOTO AMIR MAMAT.
Amir Mamat


Ayer Keroh: Umat Islam yang bimbang untuk berkunjung ke pasar atau bazar Ramadan di Melaka tahun ini, boleh mendapatkan khidmat penghantar makanan Warong Rider' yang diwujudkan kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, langkah mewujudkan khidmat itu susulan timbul kebimbangan masyarakat untuk keluar membeli-belah berikutan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, perkhidmatan itu ditubuhkan kerajaan negeri menerusi Melaka ICT Holdings (MICTH) bersama Idea Creative Technology Sdn Bhd (ICTSB) bagi membantu orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa secara dalam talian.

"Objektif utama program ini dilaksanakan untuk meningkatkan ekonomi digital di samping mewujudkan sistem penghantaran yang cekap dan berkesan.

"Ia juga bertujuan meningkatkan peluang pekerjaan khususnya dalam kalangan golongan belia Melaka, dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan SME Corporation (SME Corp).

"Difahamkan, Warong Rider mensasarkan sebanyak 11,100 peluang pekerjaan selain 12,500 usahawan baharu dengan 500,000 orang pengguna di seluruh negara tahun ini.

"MICTH secara rasminya dilantik sebagai agensi penyelaras di negeri ini untuk merealisasikan sasaran berkenaan," katanya selepas melancarkan Warong Rider di bawah Program Warong di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan; Timbalan Pengerusi MICTH, Datuk Mohd Fauzi Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif Idea Creative Technology Sdn Bhd, Mohd Nazri Kamarulzaman.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, konsep Warong Rider ini bukan sekadar menyediakan khidmat menghantar pesanan makanan halal.

Malah, katanya, ia diperluaskan kepada sistem penghantaran berpusat termasuk penghantaran ubat-ubatan dari farmasi, penghantaran dokumen dari pejabat atau barangan dari rumah ke rumah serta dari kedai runcit atau pasar raya terus ke lokasi pelanggan.

Katanya, peluang pekerjaan sebagai khidmat penghantar itu meliputi pelbagai insentif seperti perlindungan penjana GIG, penyelenggaraan motosikal, insentif 'rider'' cemerlang, bonus bulanan serta pelbagai kelebihan lain termasuk mengerjakan umrah.

"Saya berharap golongan belia dapat mengambil peluang dengan menyertai program ini, sekali gus dapat menambah pendapatan diri dan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 1:50 PM