MANCHA menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Padawan, Matu Daro dan Serian. FOTO Nadim Bokhari
MANCHA menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Padawan, Matu Daro dan Serian. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kertas siasatan terhadap seorang pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang didakwa mengasari pegawai bawahan sehingga cedera bulan lalu sudah dihantar kepada pejabat Peguam Negara.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes terbabit.

Menurutnya, berikutan kes itu membabitkan pegawai tentera, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut membuat siasatan dalaman dan akan membawanya ke Mahkamah Tentera.

"Polis menerima laporan berhubung kejadian itu yang berlaku ketika latihan tentera dan kita sudah merujuk kertas siasatan itu ke pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Padawan, Ketua Polis Daerah Matu Daro dan Ketua Polis Daerah Serian di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong menyerahkan tugas kepada Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi.

Ketua Polis Daerah Matu Daro, Deputi Superintendan Neil Beginda pula menyerahkan tugas kepada penggantinya Deputi Superintendan Rahim Mihos manakala pemangku Ketua Polis Daerah Serian, Asisten Superintendan Suriah Seleh pula menyerahkan tugas kepada Neil Beginda.

Yang turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ibrahim Darus dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Wong Ing Fung.

Pada 10 Mac lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan berhubung kes pegawai kanan TDM itu yang didakwa mengasari pegawai bawahan sehingga cedera.

Mohamed Khaled berkata, ini kerana laporan polis sudah dibuat oleh mangsa dan pasukan keselamatan itu juga memang sedang menjalankan siasatan kes berkenaan, tetapi keutamaan kepada polis membuat siasatan.

Kejadian itu dilaporkan berlaku ketika sekumpulan pegawai sedang menjalani latihan peringkat formasi di kawasan Lundu pada 1 Mac lalu apabila mangsa mendakwa ditampar pada muka dan ditendang pada perut oleh pegawai kanan terbabit sehingga menyebabkan kecederaan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengesahkan pegawai kanan berkenaan kini dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan TDM melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh.

Sementara itu, mengenai kes jenayah komersil di Sarawak, Mancha berkata, penurunan dicatatkan sepanjang 1 Januari hingga 31 Mac tahun ini apabila sebanyak 597 kes dicatatkan berbanding 739 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, jumlah kerugian jenayah komersil bagi tempoh itu adalah sebanyak RM28.6 juta bagi tahun ini manakala bagi tempoh sama tahun 2023 adalah sebanyak RM31.2 juta iaitu penurunan sebanyak RM 2.6 juta atau penurunan 8.33 peratus.

"Kes jenayah komersil yang membabitkan mangsa paling ramai di negeri Sarawak serta kerugian dialami adalah E-dagang iaitu sebanyak 154 kes membabitkan kerugian RM1.4 juta.

"Tipu Pelaburan pula sebanyak 58 kes yang menyebabkan kerugian RM11.1 juta; pinjaman tidak wujud sebanyak 55 kes dengan kerugian RM432,000; pecah amanah sebanyak 46 kes dengan kerugian RM7.4 juta dan phone scam sebanyak 40 kes yang menyebabkan kerugian RM 2.7 juta," katanya.

Menurutnya, usaha berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak bagi membendung jenayah komersil telah menghasilkan sebanyak 244 tangkapan bagi tahun 2024.

"Seramai 374 orang (termasuk dari kes-kes tahun sebelum) telah dituduh di mahkamah. Pertuduhan itu membabitkan 361 kertas siasatan dan jumlah pertuduhan keseluruhan sebanyak 706," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 4:55 PM