Oleh Amir Mamat

Melaka: Kerajaan Melaka bercadang membina menara telekomunikasi tertinggi di Asia sekali gus mengatasi Menara Kuala Lumpur yang kini mempunyai ketinggian 421 meter.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, selain daripada berfungsi sebagai pemancar telekomunikasi, cadangan membina menara itu juga bertujuan menjadi petunjuk kepada pelayar dan perdagangan laut, sesuai dengan kewujudan pelabuhan bertaraf antarabangsa di negeri itu tidak lama lagi.

Sehubungan itu, katanya, Melaka ICT Holdings (MICTH) diarah menyediakan draf lengkap cadangan pembinaan menara terbabit dalam tempoh dua minggu termasuk mencadangkan lokasi sesuai bagi tujuan berkenaan.

“Menara Kuala Lumpur kini diiktiraf sebagai menara telekomunikasi tertinggi di Asia dan kita bercadang mengatasi rekod yang sudah dipegang selama 20 tahun itu.

“Saya harap cadangan direalisasikan sebagai usaha menambahbaik sistem telekomunikasi di negeri ini selain menjadikan ia sebagai panduan kepada pelayar dan pedagang laut ketika melalui kawasan Selat Melaka,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO negeri di Seri Negeri, di sini, semalam.

Menara Kuala Lumpur yang siap dibina pada 1996 adalah menara telekomunikasi tertinggi di Asia dan ketujuh tertinggi di dunia.

Pada majlis itu, Idris yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Bank Rakyat berjumlah RM678,160 dan Puncak Mantik Enterprise, RM10,000.

Sementara itu, Idris meminta 25 syarikat konsesi penambakan laut di negeri ini supaya berbincang dengan Pusat Zakat Melaka (PZM) mengenai beberapa perkara berkaitan dengan pembayaran zakat.

Katanya, sehingga kini tiada satu pun syarikat terbabit tampil untuk melunaskan zakat perniagaan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 10:02 AM