MEREKA yang berminat menjadi riders berpeluang mengikuti program SME Corp Micro Connector dan menjadi Warong Riders.
MEREKA yang berminat menjadi riders berpeluang mengikuti program SME Corp Micro Connector dan menjadi Warong Riders.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) aktif mengadakan pelbagai program yang dapat membantu mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang aktiviti perniagaan untuk masyarakat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, antara program terbaharu diperkenalkan termasuk program khidmat penghantaran atau delivery riders melalui Tekun Nasional dan SME Corp.

"Sehingga kini, kementerian menghasilkan 2,114 riders di bawah program Tekun Mobileprenuer sementara di bawah program SME Corp Micro Connector pula, kementerian menyasar mewujudkan 5,000 Warong Riders.

"Saya percaya peluang dan rezeki ada di mana-mana. Kami dapati ada peningkatan (permintaan) untuk perkhidmatan penghantaran ini berikutan daripada arahan kawalan pergerakan.

"Ini peluang yang dapat dipertimbangkan masyarakat terutama mereka yang kehilangan pekerjaan kerana Covid-19.

"Kepada mereka yang berminat menjadi riders, mungkin patut mempertimbangkan peluang mengikuti program SME Corp Micro Connector dan menjadi Warong Riders kami," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, hampir RM1 juta menerusi geran di bawah program Minor Rural Project (MRP) diedarkan kepada penerima di Santubong untuk digunakan bagi aktiviti dan projek yang dapat mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.

Daripada jumlah itu, RM854,600 diserahkan kepada 27 organisasi di kawasan terbabit.

Antara penerima bantuan termasuk sekolah, surau dan pertubuhan bukan kerajaan di kawasan Parlimen Santubong.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, pihaknya berharap supaya peruntukan diberikan dapat membantu golongan yang terjejas akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 9:10 AM