Program ini memberi peluang pekerjaan serta membolehkan penunggang menjadi pembimbing rakan sebaya menurut Wan Junaidi.
Program ini memberi peluang pekerjaan serta membolehkan penunggang menjadi pembimbing rakan sebaya menurut Wan Junaidi.
Bisnes hmetro

hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) optimis membantu 25,000 perniagaan kecil di seluruh negara beralih kepada digital dalam tempoh satu hingga dua tahun sebagai langkah penting memastikan kelangsungan hidup mereka dalam era pasca-Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini berikutan kesan berganda dijangka dapat dilihat kementerian daripada pelbagai program dijalankan agensinya, dengan yang terkini ialah kerjasama antara SMECorp dan perkhidmatan penghantaran Warong Riders melalui Program Micro Connector SME Corp.

Di bawah program ini, katanya Medac menyasarkan mempunyai 5,000 penunggang perkhidmatan penghantaran menyertai program Warong Riders, yang diwujudkan di semua kawasan Parlimen di seluruh negara.

"Program ini memberi peluang pekerjaan serta membolehkan penunggang menjadi pembimbing rakan sebaya yang membantu mewujudkan kesedaran dan membantu dalam proses migrasi perniagaan Mak Cik Kiah daripada tradisional kepada digital.

"Ia dapat dicapai untuk seorang penunggang berpotensi terbabit dengan lima perniagaan kecil, dan membantu menjelaskan serta membantu mereka dalam proses pendigitalan," katanya, semalam.

Wan Junaidi berkata, dari sana, agensi lain seperti Institut Keusahawanan Negara (Insken) dapat membantu dengan program kesedaran dan peningkatan kemahiran diperlukan melalui latihan dan bimbingan.

Katanya, setakat ini, Insken membantu melatih kira-kira 5,000 usahawan untuk beralih daripada operasi perniagaan tradisional mereka kepada digital melalui program bimbingan khas, iaitu Online Onboarding Coaching (E-board), menyasarkan membantu 5,900 usahawan melalui beberapa program bimbingan, termasuk E-board, Penjaja Onboarding Programme (POP) dan program IBT pada tahun depan.

Wan Junaidi berkata, kos keseluruhan bagi membantu perniagaan kecil beralih kepada dalam talian adalah besar dan berdasarkan peruntukan diberikan kepada Medac dan agensinya, ia tiada dana mencukupi untuk melaksanakan tugas mencabar ini sendiri.

Sehubungan itu, katanya Medac berminat bekerjasama dengan kementerian lain dalam pelbagai program membantu perniagaan kecil mendigitalkan operasi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 7:52 AM