Hamzah Osman


Langkawi: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap orang ramai yang sudah selesai menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 dibenarkan melancong ke Langkawi.

Beliau berkata, langkah itu perlu untuk membantu memulihkan industri pelancongan di pulau itu yang nazak sejak setahun lalu.

"Sejak Covid-19 melanda negara ini, Langkawi memang menderita dan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiada orang datang sehingga kedai dan hotel kosong.

"Untuk membantu Langkawi, orang yang sudah kena dua kali vaksin, saya ingat mereka selamat untuk datang ke sini," katanya kepada media selepas sesi tinjauan mesra (walkabout) di Pantai Chenang, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, bagaimanapun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini penggiat pelancongan mula menarik nafas lega selepas berlaku kemasukan pelancong dalam skala kecil.

"Pelancong dari tanah besar khususnya Kedah sudah mula masuk dengan jadual perjalanan feri kini mencecah lima trip sehari dengan setiap feri bawa 600 orang.

"Jadi legalah sikit peniaga-peniaga di sini," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama orang ramai yang masuk ke Langkawi perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan penjarakan sosial untuk mengekang Covid-19.

TUN Dr Mahathir Mohamad ketika sesi tinjauan mesra (walkabout) di Pantai Chenang di sini, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
TUN Dr Mahathir Mohamad ketika sesi tinjauan mesra (walkabout) di Pantai Chenang di sini, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 11:11 AM