ROSMAZAINI Mohd Zain, 50 dan Pengurus syarikat antarabangsa asal Sweden, Katarina Carlfalk, 43.
ROSMAZAINI Mohd Zain, 50 dan Pengurus syarikat antarabangsa asal Sweden, Katarina Carlfalk, 43.
M Hifzuddin Ikhsan


Langkawi: Suasana suram sejak hampir dua tahun lalu, berubah meriah apabila pulau peranginan ini mula menerima kehadiran semula pelancong di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik bermula hari ini.

Tinjauan mendapati lokasi tarikan seperti di Pantai Chenang, Kereta Kabel Gunung Machincang, Underwater World Langkawi dan pekan Kuah menjadi tumpuan pelancong.

Ahli perniagaan, Rosmazaini Mohd Zain, 50, berkata walaupun gembira dapat bercuti di Langkawi, namun masih ada kebimbangan berikutan negara masih dalam keadaan pandemik Covid-19 menyebabkan langkah berjaga-jaga perlu diambil.

"Saya datang bersama suami dan empat anak dengan menaiki pesawat. Kami gembira kerana menjadi sebahagian kumpulan pelancong yang dapat masuk kembali ke Langkawi hari ini.

"Mungkin suasana di Langkawi tidak sebebas dahulu, tetapi itu lebih baik daripada terpaksa terus berkurung di Kuala Lumpur, cuma perlu patuh banyak SOP (prosedur operasi standard) sahaja," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) hari ini.

Rosmazaini berkata, keluarganya merancang bercuti di pulau ini sejak Januari lalu lagi, tetapi terpaksa menangguhkannya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya tidak batalkan tempahan bilik yang dibuat awal dan pihak hotel pula benarkan kami tukar tarikh dalam masa setahun dan akhirnya kami pilih 16 September kerana kebetulan cuti sekolah," katanya.

Bermula hari ini, Langkawi kembali dibuka di bawah projek gelembung pelancongan dan sejumlah 3,200 pelancong dijangka tiba melalui 18 penerbangan dan tiga perkhidmatan feri.

Pengurus syarikat antarabangsa, Katarina Carlfalk, 43, pula berkata penerbangannya ke Langkawi cukup lancar, walaupun terpaksa melalui pelbagai proses termasuk membuat ujian pengesanan Covid-19 sebelum menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Hari ini saya teruja kerana sejak Disember tahun lalu, tidak dapat ke mana-mana hanya keluar rumah untuk ke tempat kerja di Kuala Lumpur.

"Saya tidak sabar untuk ke pantai dan melawat tempat menarik yang ada di Langkawi dan menikmati makanan laut yang terkenal di sini," katanya yang berasal dari Sweden.

Bagi pengurus teknologi maklumat berasal dari New Zealand, Gabrial Keith, 47, terdapat kesedihan bagi dirinya kerana tidak dapat pulang ke negara asalnya sejak tahun lalu.

"Peraturan di New Zealand lebih ketat kerana kami tidak dibenarkan pulang, tetapi saya ambil kesempatan ini bercuti di Langkawi bagi mengubat kerinduan kepada keluarga.

"Ini adalah kunjungan kedua saya ke sini, dan saya memang suka Langkawi kerana jaraknya juga tidak terlalu jauh dari Kuala Lumpur," katanya yang sudah menetap di negara ini sejak empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 4:24 PM