ARMISHAH mesra dengan penduduk tanpa mengira peringkat usia.
ARMISHAH mesra dengan penduduk tanpa mengira peringkat usia.
Hamzah Osman


Langkawi: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Langkawi, Datuk Armishah Siraj beriltizam menjadi wakil rakyat yang mudah didekati dan mesra penduduk.

Berpengalaman selama 31 tahun sebagai bekas Setiausaha Sulit kepada tiga Menteri Besar Kedah, beliau komited melakukan perkara itu selepas memenangi kerusi itu kelak.

"Sebelum ini ramai penduduk pulau legenda ini menyatakan kesukaran untuk berjumpa wakil rakyat bagi mengadu masalah mereka.

"Saya bersimpati nasib ramai penduduk di beberapa kawasan tidak terbela susulan sukar dapat bertemu dengan wakil rakyat terdahulu," katanya.

Armishah, 58, yang juga ahli Umno cawangan Kampung Kuah di sini, menjadi taruhan BN merampas kerusi itu daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas peluangnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, beliau berkata, peluangnya memenangi kerusi itu cerah walaupun menentang negarawan terulung.

"Parlimen Langkawi sebenarnya kawasan selamat untuk BN, cuma pada PRU-14 ia berjaya dirampas Pakatan Harapan disebabkan berlaku tsunami politik di seluruh negara.

"Pada PRU-15 ini, kami yakin dapat merampasnya semula dan perkara itu akan dibuktikan selepas pengundi selesai membuang undi pada Sabtu ini," katanya.

Armishah mahu jadi wakil rakyat mudah didekati dan mesra
Armishah mahu jadi wakil rakyat mudah didekati dan mesra

Bapa kepada empat anak itu berkata, beliau bekerja dan menyelesaikan banyak isu termasuk bekalan air kepada 52 rumah di Pulau Tuba yang tertangguh lama.

"Saya turut selesaikan masalah diskaun tiket feri secara dalam talian kepada penduduk Langkawi serta isu air bertakung berterusan di Pasar malam Ayer Hangat.

"Selain itu, perkhidmatan feri membawa penumpang dan kenderaan (RORO) laluan Langkawi ke Kuala Kedah (pergi-balik) akan beroperasi tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengemukakan manifesto yang menggariskan empat teras utama bakal dilaksanakan jika dipilih sebagai Ahli Parlimen Langkawi yang baharu.

Empat teras itu membabitkan dua cadangan pelaksanaan di peringkat persekutuan, manakala dua lagi difokuskan kepada kebajikan penduduk pulau legenda ini.

Bagi cadangan Persekutuan, Armishah mencadangkan pelaksanaan elaun seberang laut berjumlah RM500 kepada lebih 4,000 penjawat awam yang bekerja di Langkawi.

ARMISHAH menyantuni pengundi muda. FOTO HAMZAH OSMAN
ARMISHAH menyantuni pengundi muda. FOTO HAMZAH OSMAN

Selainnya, beliau turut mencadangkan pemberian visa percuma selama seminggu kepada pelancong luar negara yang berkunjung ke pulau peranginan ini.

Dua cadangan khusus bagi Langkawi pula pemberian kuota khas 20 peratus kepada anak Langkawi bagi memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi.

Beliau turut berikrar menubuhkan DAS Assist Centre yang akan bertanggung jawab mengurus dan mengendalikan kebajikan penduduk setempat.

Pada PRU-15, Sabtu ini, Armishah bersaing dengan Dr Mahathir mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah; Pakatan Harapan (PH), Zabidi Yahya dan calon bebas, Datuk Paduka Abdul Kadir Sainudin.

Berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 66,777 pengundi layak menjalankan tanggungjawab di Parlimen Langkawi pada PRU-15 ini.

Pada PRU-14 lalu, Dr Mahathir memperoleh 18,954 undi menewaskan Datuk Nawawi Ahmad (BN, 10,061 undi) dan Zubir Ahmad (Pas, 5,512 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 7:03 AM