Persekitaran Pantai Chenang kelihatan bersih dan menjadi aset tarikan pelancong. FOTO HAMZAH OSMAN
Persekitaran Pantai Chenang kelihatan bersih dan menjadi aset tarikan pelancong. FOTO HAMZAH OSMAN
Oleh Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Lokasi tumpuan sekitar pulau pelancongan ini didapati tidak mengalami masalah longgokan sampah dengan keindahan pantai dan premis perniagaan yang bersih masih menjadi tarikan utama pelancong.

Tinjauan di Pantai Chenang hari ini, mendapati pelancong memuji usaha dilakukan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) dalam memastikan pesisir pantai sepanjang kira-kira tiga kilometer itu sentiasa bersih.

Pelancong, Rumaiza Ariffin, 35, dari Sabak Bernam, Selangor berkata, dia bersama suami, Rafaat Majid, 41, dan anak tunggal, Danial, 10, berkunjung ke kawasan pantai itu pagi tadi untuk beriadah.

Katanya, mereka mendapati kawasan berkenaan bersih, malah premis yang menjual makanan sekitar pantai turut diurus dengan baik oleh pengusahanya.

"Persekitaran di Dataran Chenang juga nampak bersih dan tidak nampak sampah berlonggok yang boleh mencemarkan pemandangan atau menyebabkan pelancong mengelak berkunjung ke sini.

"Mungkin kawasan lain seperti di Bukit Malut ada isu longgokan sampah yang dibuang penduduk ke laut, tetapi bukan di pesisir pantai di sini," katanya ditemui.

Selain itu, pelancong turut memuji keprihatinan MPLBP menguruskan kebersihan di sekitar Kuah, khususnya di kawasan premis bebas cukai di Jalan Pandak Mayah.

Zaleha Ahmad, 39, dari Bandar Hilir, Melaka berkata, pihak berkuasa berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan menyediakan pekerja dalam usaha memastikan premis kedai dalam keadaan bersih.

"Saya nampak ada pekerja pembersihan menyapu dan mengutip sampah di kawasan deretan kedai bebas cukai ini, jadi kawasan Pandak Mayah ini nampak bersih dan selesa.

"Saya juga singgah di kawasan Pasar Awam Kuah untuk membeli buah-buahan, nampak persekitaran pasar itu juga bersih dengan beberapa pekerja tekun melakukan tugas mereka," katanya.

Pulau ini kini menjadi tumpuan pelancong tempatan selepas dibuka sebagai destinasi rintis gelembung pelancongan mulai 16 September lalu, selain kebenaran rentas negeri mulai 11 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 4:53 PM