FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kluster Paloh Rambai, Ketereh yang menjadi kluster terbaharu di Kelantan dipercayai tercetus daripada penganjuran majlis perkahwinan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, kes indeks bagi kluster berkenaan adalah seorang wanita tempatan berusia 57 tahun, yang dikesan melalui saringan individu bergelaja pada 18 Mac lalu.

"Dia disahkan positif Covid-19 pada 19 Mac dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini, untuk rawatan lanjut.

"Susulan itu, seramai 20 kes positif Covid-19 dalam kluster ini yang membabitkan daerah Kota Bharu dan Bachok," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Izani berkata, kluster itu membabitkan guru, kakitangan dan murid di beberapa sekolah selain, ahli keluarga rapat kes indeks.

Katanya, majlis perkahwinan berkenaan yang diadakan 13 Mac lalu adalah kenduri kepada anak kes indeks.

"Kita kini dalam usaha mengenal pasti kontak rapat beliau yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu dan PKD Bachok.

"Saya mengingatkan sekali lagi kepada semua rakyat Kelantan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di majlis sosial. Sekiranya sukar dipatuhi, sila tangguhkan dahulu majlis kenduri yang dirancang," katanya.

Setakat ini, Kelantan merekodkan 63 kes positif Covid-19.

Media semalam melaporkan sebuah sekolah di Ketereh ditutup selepas 11 guru dan seorang murid dilaporkan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 9:03 PM