GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Tindakan pembantu kedai makan yang merentas negeri dan menghadiri kenduri tahlil mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah iaitu Kluster Lahat-Lahat, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster yang dikesan di Tawau itu dipercayai menular dalam komuniti berikutan kenduri tahlil pada 19 Julai lalu di Kampung Lahat-Lahat.

"Kes indeks adalah seorang lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Selangor dan pulang ke Tawau pada 13 Julai lalu.

"Beliau dikuarantin di rumah di Kampung Lahat-Lahat, Pulau Sebatik disahkan positif pada hari kesepuluh kemasukan dari luar negeri Sabah melalui saringan Pintu Masuk Antarabangsa (Lapangan Terbang Tawau) di Klinik Kesihatan Tawau.

"Setakat hari ini, 50 kontak sudah disaring dan mengesan 20 kes positif termasuk satu kes baharu sementara dua kontak didapati negatif manakala 28 lagi masih menunggu keputusan sampel kedua.

"Aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan kerana kehadiran tetamu tidak direkodkan, malah jiran yang disaring mempunyai gejala dan berkait dengan kenduri itu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Masidi berkata, selain Kluster Lahat-Lahat, pihaknya turut mengesan dua lagi kluster baharu di daerah sama iaitu Kluster Batu Keramat iaitu kluster komuniti dan Kluster Unipark yang berkait dengan tempat kerja.

Beliau berkata, Kluster Batu Keramat yang menular ketika sambutan Aidiladha membabitkan kes indeks seorang lelaki warga emas berusia 77 tahun disahkan positif Covid-19 hasil saringan bergejala di Hospital Tawau pada 24 Julai lalu.

"Saringan kontak rapat kemudiannya mengesan lima lagi kes positif dalam kalangan ahli keluarga. Kes hasil saringan pengiring yang disahkan positif pada 26 Julai 2021 di Hospital Tawau mempunyai kaitan epidemiologi dengan kes indeks.

"Siasatan awal mendapati kes indeks dan keluarga berkumpul di Kampung Tg Batu Keramat pada 20 Julai 2021 bagi menyambut Aidiladha.

"Setakat hari ini, seramai 25 kontak disaring dan 18 daripadanya didapati positif termasuk 10 kes baharu, manakala dua sampel lagi negatif dan lima sampel masih menunggu keputusan," katanya.

Selain itu, Kluster Unipark pula mula dikesan di mana kes indeks membabitkan wanita berusia 39 tahun yang juga Pengurus Cawangan Globinaco di Taman Unipark disahkan positif di sebuah hospital swasta pada 19 Julai lalu.

Menurutnya, saringan yang dijalankan ke atas 54 kontak mengesan 18 kes positif termasuk satu kes baharu hari ini manakala lima kontak didapati negatif dan 31 lagi masih menunggu keputusan sampel kedua.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 8:51 PM