Penduduk Orang Asli Kampung Aring 5 tunjuk pokok pisang diusahakan mereka diserang sekumpulan empat gajah liar awal pagi ini. FOTO RAMLI IBRAHIM
Penduduk Orang Asli Kampung Aring 5 tunjuk pokok pisang diusahakan mereka diserang sekumpulan empat gajah liar awal pagi ini. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Masyarakat Orang Asli di Kampung Aring 5, dekat sini, bimbang dengan keselamatan mereka apabila empat gajah liar berkeliaran menghampiri rumah mereka sejak seminggu lalu.

Malah, penduduk mendakwa, mereka menanggung kerugian ribuan ringgit apabila berpuluh pokok getah dan pisang dimusnahkan haiwan liar itu hampir setiap pagi.

Penghulu Orang Asli Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata, masalah ancaman gajah liar berkenaan bukan perkara baharu dihadapi kaum itu.

Sebaliknya, katanya, ia berlaku sejak lebih setahun lalu dan kadang-kala lari ke hutan berhampiran beberapa bulan sebelum keluar semula ke kampung itu.

"Penduduk sedih setiap kali sekumpulan gajah itu masuk ke kawasan kampung dan memusnahkan pokok pisang serta pokok getah.

"Kejadian terbaru berlaku awal pagi hari ini apabila berpuluh pokok pisang yang baru mengeluarkan hasil habis dimusnahkan kumpulan gajah terbabit.

"Kami ada terdengar sekumpulan gajah liar itu menjerit dalam kebun pisang pada 2 pagi berhampiran rumah penduduk, tetapi takut keluar rumah untuk menghalaunya," katanya ketika ditemui di kebun mereka, hari ini.

Menurutnya, apabila penduduk memasuki kebun pisang pada 7 pagi hari ini, mereka mendapati kebun pisang bersama pokok getah habis musnah.

Menurutnya, masalah itu sudah beberapa kali dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), tetapi tidak ada tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 5:31 PM