Seekor daripada dua lembu yang mati dipijak gajah liar dalam kebun seorang penternak dekat Kampung Subong,  malam Khamis lalu. FOTO RAMLI IBRAHIM
Seekor daripada dua lembu yang mati dipijak gajah liar dalam kebun seorang penternak dekat Kampung Subong, malam Khamis lalu. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Seekor gajah jantan yang dipercayai naik minyak bukan sahaja memusnahkan 300 pokok pisang, malah turut memijak mati dua ekor lembu.

Kejadian itu didakwa berlaku sejak dua hari lalu di kawasan kebun milik 30 penduduk Kampung Subong, di sini, sehingga mereka menanggung kerugian lebih RM50,000.

Seorang penduduk, Zakaria Omar, 53, berkata gajah liar itu berada dalam kebunnya sejak dua minggu lalu dan setakat ini 150 pokok pisang sudah dirosakkan.

Katanya, kejadian paling teruk berlaku malam Khamis lalu apabila haiwan itu turut menyebabkan dua ekor lembu mati akibat dipijak, selain pokok pisang dimusnahkan.

"Lembu milik penternak lain apabila ditemui mati kira-kira 7 pagi Jumaat dalam keadaan perut terburai keluar.

"Berikutan kejadian itu, kami takut untuk memasuki kebun sama ada menoreh getah dan menebang pisang untuk dijual.

"Setakat ini, secara keseluruhannya sebanyak 300 pokok pisang sudah dimusnahkan gajah itu termasuk pokok pisang di kebun saya," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Penduduk lain Nik Kamarul Aziman Nik Zul, 32, berkata dia pernah beberapa kali terserempak dengan gajah itu sehingga ketakutan dan bergegas lari ke rumah.

Menurutnya, dia bimbang jika tiada tindakan menghalau gajah terbabit berkemungkinan lebih banyak tanaman dirosakkan.

"Masalah itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 1:40 PM