Adnan Ibrahim


BIMBANG diancam kumpulan gajah liar, penduduk Kampung Orang Asli Sungai Peroh di Kluang, terpaksa duduk diatas dahan hampir empat jam bagi menyembunyikan diri.

Situasi panik itu dilalui Azar Eja, 35, bagi mengelak bertembung dengan kira-kira 50 gajah ketika dalam perjalanan ke kebun miliknya yang terletak berhampiran sungai di kawasan terbabit.

Kejadian yang berlaku, kira-kira 11 pagi Sabtu lalu itu turut sempat dirakam sebagai bukti kehadiran binatang itu di kawasan berhampiran kampung mereka.

Azar berkata, pada mulanya dia tidak menyedari kehadiran binatang itu sebelum melihat beberapa pokok getah yang ditanamnya didapati tumbang seperti dilanggar sesuatu yang amat kuat.

Katanya, menyedari keadaan itu dia cuba mencari bukti sebelum tiba-tiba terlihat kelibat beberapa ekor gajah yang muncul dari dalam semak menyebabkan dia terpaksa menyembunyikan diri dengan memanjat pokok.

“Pada mulanya saya hanya menganggarkan hanya beberapa ekor gajah sahaja, namun semakin lama jumlahnya semakin banyak.

“Keadaan itu menyebabkan saya merasa takut walaupun di atas pokok yang tinggi,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya walaupun cemas, dia berjaya merakamkan beberapa minit kemunculan kumpulan gajah liar itu.

PENDUDUK Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Azar Eja sempat merakam gambar sekumpulan gajah liar semasa terserempak pada Sabtu lalu. FOTO Ihsan Pembaca
PENDUDUK Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Azar Eja sempat merakam gambar sekumpulan gajah liar semasa terserempak pada Sabtu lalu. FOTO Ihsan Pembaca

“Selepas melihat semua gajah itu beredar agak jauh dari tempat bersembunyi, saya tidak melengahkan masa dan terus turun dan berlari sekuat hati balik ke rumah,” katanya.

Menurut Azar, sebaik sampai ke kampung yang terletak kira-kira 500 meter dari kebunnya itu, penemuan kumpulan gajah itu diceritakan kepada penduduk kampung.

“Saya hanya mampu memberikan peringatan kepada mereka supaya tidak ke kebun dalam masa terdekat bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Pemeriksaan ke atas gombang (alat mengangkat ikan) di dalam Sungai Peroh juga mendapati ia rosak akibat dipijak oleh gajah menyebabkan kami kehilangan punca untuk mendapatkan lauk harian dan pendapatan sampingan,” katanya.

Sementara itu, Batin Kampung Sungai Peroh, Mohd Yusri Abdullah berkata, akibat daripada keadaan itu, tanaman seperti pisang, kelapa sawit, getah dan tebu yang diusahakan penduduk kampung berkenaan hampir habis dimusnahkan kumpulan gajah terbabit.

Katanya, keadaan ini juga menyebabkan penduduk tidak dapat pergi ke kebun atau ke sungai berhampiran kampung kerana bimbang terserempak dengan binatang yang boleh mengancam keselamatan mereka.

“Saya amat berharap pihak berkaitan dapat bertindak segera, walaupun setakat ini kumpulan gajah berkenaan tidak menyebabkan sebarang kejadian buruk di kampung ini.

Mohd Yusri berkata, walaupun gajah itu ditemui pada Sabtu lalu, namun hingga hari ini kumpulan gajah terbabit dipercayai masih berada di kawasan sekitar kebun berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 12:07 PM