Ahmad Najmuddin menunjukkan kesan kemusnahan pokok pisang akibat serangan gajah liar berhampiran SK Sri Permai, Pos Pasik. FOTO Ihsan Penduduk 
Ahmad Najmuddin menunjukkan kesan kemusnahan pokok pisang akibat serangan gajah liar berhampiran SK Sri Permai, Pos Pasik. FOTO Ihsan Penduduk 
Oleh Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kejadian kali kelima kemunculan gajah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Permai, Pos Pasik, menimbulkan kebimbangan kepada 33 guru dan kakitangan sekolah terbabit.

Dalam kejadian pertama pada Rabu lalu, kelibat haiwan liar itu di kesan muncul di belakang rumah guru kira-kira jam 10 malam.

Pada keesokan harinya, gajah liar terbabit sekali lagi muncul dan merosakkan tanaman pisang yang ditanam guru di luar pagar sekolah terbabit.

Dalam kejadian terbaharu semalam, sekumpulan gajah liar itu masuk ke kawasan sekolah dan merosakkan kebun pisang yang ditanam dua guru bersama seorang penduduk Orang Asli.

Guru, Ahmad Najmuddin Ja'afar, 33, kemunculan gajah liar yang semakin kerap berlaku bermula Rabu lalu membimbangkan guru dan kakitangan sekolah terbabit.

"Kejadian terbaru pada malam tadi sekitar jam 11 malam sekumpulan gajah terbabit muncul berhampiran pagar sekolah dan kami sempat merakam haiwan liar itu dan itu adalah kejadian kelima dalam tempoh seminggu.

"Kami di sini bimbangkan keselamatan sekiranya gangguan ini berterusan. Saya harap ada tindakan segera dapat diambil kerana ini soal keselamatan kami di sini," katanya ketika dihubungi.

Malah dalam kejadian pagi semalam, dua guru, Mohd Zani Mohd Zain, 46, dan Mohamad Hanif Kamaruddin, 45, berputih mata apabila kebun pisang yang diusahakan mereka sejak tiga tahun lalu, dimusnahkan sekumpulan gajah liar.

Menurut Mohd Zani, pokok pisang di kebun terbabit yang terletak di dalam kawasan sekolah sudah membuahkan hasil dan boleh dijual.

Katanya, mereka kerugian lebih RM 1,000 apabila sekumpulan gajah liar bertindak merosakan pokok pisang yang ditanam di kawasan kebun seluas 0.4 hektar.

"Kami percaya kejadian berlaku pada waktu pagi ketika semua guru berada di sekolah dan kebun ini terletak berhampiran sekolah dan masih dalam kawasan sekolah.

"Saya menyedari kejadian berlaku pada petang semalam ketika datang ke kebun. Apabila melihat banyak pokok rosak, rasa terkejut dan sangat kecewa sebab pokok pisang semua sudah membuahkan hasil.

"Tapi kami anggap ini bukan rezeki kami kerana belum sempat kami menjualnya semuanya sudah dimakan gajah liar," katanya.

Mohd Zani berkata, dia percaya gajah liar datang berkumpulan kerana terdapat kesan tapak kaki berbeza saiz di sekitar kawasan kebun terbabit.

"Kumpulan gajah terbabit juga turut merosakkan pagar elektrik yang dipasang di sekitar kebun yang terletak dalam kawasan sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 11:17 AM