RINA (kiri) menyampaikan bantuan kewangan bagi pengoperasian PAWE kepada Pengerusi PAWE Manjung, Zulkafli Zainal Abidin (kanan). FOTO Bernama.
RINA (kiri) menyampaikan bantuan kewangan bagi pengoperasian PAWE kepada Pengerusi PAWE Manjung, Zulkafli Zainal Abidin (kanan). FOTO Bernama.
BERNAMA

Ipoh: Seramai 2,330 warga emas di institusi kebajikan akan menerima suntikan vaksin fasa kedua, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula April ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bagi menyelaraskan pemberian vaksin kepada warga emas, khususnya yang berada di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Jumlah itu adalah sebahagian daripada 80,000 nama mereka yang terdiri daripada warga emas, pesakit kronik dan orang kurang upaya (OKU) yang sudah diberi kepada KKM.

"JKM juga sedang mengumpulkan data keahlian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bagi PICK iaitu sasaran warga emas di komuniti yang dijangkakan lebih 47,000 warga emas di pusat itu dapat menyertai program ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan peruntukan sebanyak RM450,000 pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Pengoperasian Tahunan dan Penubuhan PAWE Baharu Negeri Perak di sini, hari ini.

Rina berkata, pihaknya akan menjalankan program advokasi kesedaran berkaitan pengambilan vaksin dan menyeru semua rakyat terutama warga emas supaya mendaftarkan diri untuk menyertai program imunisasi berkenaan melalui saluran disediakan termasuk aplikasi MySejahtera.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata, kerajaan mensasarkan 222 PAWE akan diwujudkan menjelang 2030 di setiap parlimen.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 143 PAWE meliputi 131 kawasan parlimen dengan ahli berdaftar seramai 47,627 orang.

Beliau berkata, JKM berjaya menubuhkan 11 PAWE baharu termasuk dua penubuhannya di Perak iaitu di Bagan Datuk dan Langkap pada tahun lalu serta sedang mempertimbangkan beberapa lagi penubuhan di negeri ini.

"Pada tahun ini, JKM menerima peruntukan RM2 juta bagi penubuhan 20 PAWE baharu termasuk RM100,000 bagi kerja-kerja pembaikan dan pembelian peralatan untuk penubuhan PAWE baharu di Perak iaitu di Kuala Kangsar," katanya.

Beliau turut menarik perhatian bahawa kerajaan sedang melaksanakan projek rintis Bandar Mesra Usia di Taiping berikutan Perak mempunyai peratusan penduduk warga emas tertinggi di negara ini iaitu 15.8 peratus yang mewakili 397,400 warga emas berbanding keseluruhan penduduk negeri itu.

"Menerusi projek dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) ini, kementerian akan membangunkan rangka tindakan yang boleh digunakan oleh pihak berkuasa tempatan dalam menyediakan sesebuah kawasan atau bandar yang mesra kepada semua peringkat usia termasuk warga emas," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan secara rasmi bersama Jabatan Perkhidmatan Awam berhubung cadangan bekerja dari rumah (BDR) seperti yang diutarakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 8 Mac, Muhyiddin dilaporkan meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM), untuk menilai cadangan memperluas kemudahan BDR untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh, bagi penjagaan ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak baharu lahir.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 4:41 PM