Rina Mohd Harun (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Dapur Rakyat Prihatin di Kampung Sungai Udang hari ini. FOTO BERNAMA
Rina Mohd Harun (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Dapur Rakyat Prihatin di Kampung Sungai Udang hari ini. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Klang: Seramai 36,000 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) akan menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah itu seramai 25,000 penerima adalah warga emas manakala 11,000 lagi adalah OKU.

"Kita cadangkan untuk lebih 80,000 warga emas dan OKU menerima suntikan, bagaimanapun untuk permulaan ini hanya 36,000 akan disuntik.

"Kami akan sentiasa mempergiatkan usaha untuk mendaftar vaksin untuk golongan sasar ini (warga emas dan OKU) menerusi beberapa program kerana ada antara mereka kurang pengetahuan untuk mendaftar," katanya ketika ditemui di Program Dapur Rakyat Prihatin di Kampung Sungai Udang, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari dan Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Rina berkata, walaupun kementerian membantu dalam pendaftaran untuk penerimaan vaksin, individu berkenaan tetap perlu mendaftar di aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya akan mengambil data mereka yang bersetuju untuk didaftarkan seterusnya diserahkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Terdahulu, Rina menyerahkan bantuan bakul makanan kepada kira-kira 1,000 penduduk yang terdiri daripada golongan B40 dan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Sebelum ini, media melaporkan, kerajaan akan memberikan vaksin Sinovac dari China kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas melalui PICK fasa dua.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) selepas mendapati vaksin itu selamat, berkesan dan stabil untuk diberikan kepada warga emas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 2:46 PM