Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff. FOTO BERNAMA
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff. FOTO BERNAMA
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Selaras persediaan Malaysia menuju negara tua pada 2030, draf Rang Undang-undang Warga Emas kini sedang disusun bertujuan melindungi hak dan kebajikan warga emas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kajian dalam usaha mewujudkan Akta Warga Emas sudah diselesaikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Beliau berkata, ia merangkumi penyediaan hak warga emas, penjagaan, perlindungan, pemerkasaan dan sokongan yang merangkumi keluarga dan komuniti.

"KPWKM juga komited memastikan kesejahteraan warga emas dengan meneruskan usaha bersepadu bagi mempertingkat penjagaan, perlindungan dan sokongan supaya warga emas menjadi anggota masyarakat yang sihat, aktif dan produktif," katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi KPWKM di Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Zailah memaklumkan, ekosistem yang menyokong warga emas produktif turut diwujudkan melalui peluasan penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di 222 Parlimen di bawah projek RMK-11 dan RMK-12.

"Sehingga kini, sebanyak 143 PAWE ditubuhkan meliputi 131 Parlimen dan memberi manfaat kepada 49,675 warga emas," katanya.

Selain itu, beliau berkata, sehingga Ogos lalu, seramai 513,054 orang terdiri daripada golongan miskin dan miskin tegar serta mereka yang memerlukan diberi bantuan bulanan, dengan peruntukan sebanyak RM1.6 billion

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa menggalas tanggungjawab bagi memastikan golongan miskin dan miskin tegar terus dibantu bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara," katanya.

Berhubung Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang digunakan bagi penerima bantuan, Siti Zailah memaklumkan, sehingga tahun ini, JKM masih menggunakan PGK lama.

"Untuk 2022, kita akan menggunakan PGK baharu, yang mana kos yang akan ditanggung kerajaan melebihi RM3 bilion.

"Ia adalah satu perkara yang besar dengan suasana (ekonomi) pada hari ini, namun kerajaan sedang berusaha dan melakukan libat urus dengan pelbagai pihak supaya PGK yang digunakan selaras dengan hasrat rakyat dan apa yang kita mahu capai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 5:49 PM