GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengenal pasti beberapa punca yang menyebabkan golongan kurang upaya dan warga emas ini tidak mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata, kebanyakan mereka ini mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat serta masih ragu-ragu dengan keberkesanan vaksin berkenaan.

Katanya, selain itu ada juga antara mereka yang memerlukan bantuan orang lain untuk membantu membuat pendaftaran vaksinasi.

"Berikutan itu, kita mengambil pendekatan untuk menggerakkan agensi di bawah kementerian termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendekati warga emas dan OKU ini bagi mendaftar dalam PICK.

"Antaranya dengan membuka kaunter pendaftaran dalam program yang dianjurkan KPWKM. Jadi golongan ini tidak perlu mendaftar dalam aplikasi yang disediakan. Pihak kami akan bantu untuk sesi pendaftaran yang secara langsung mampu meningkatkan jumlah pendaftaran vaksinasi," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen NGO yang julung kali diadakan, di sini, hari ini.

RINA bersama wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) pada majlis Konvensyen NGO. FOTO Bernama
RINA bersama wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) pada majlis Konvensyen NGO. FOTO Bernama

Dalam pada itu, Rina berkata, pihaknya turut menggunakan data dan maklumat penerima bantuan bawah agensinya untuk mendaftar dalam PICK.

"Bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sahaja kita sudah ada kira-kira 500,000 penerima bantuan. Ia tidak termasuk 47,000 warga emas yang mendaftar dibawah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

"Justeru itu, maklumat yang kita perolehi ini akan dihantar untuk pendaftaran, bagaimanapun persetujuan individu terbabit masih perlu diambil kira. Bila sudah mendapat persetujuan barulah nama dan maklumat mereka akan diserahkan kepada pihak sepatutnya untuk mendaftar secara berperingkat.

"Itu antara inisiatif yang dilakukan oleh KPWKM untuk memudahkan golongan berkenaan untuk mendaftar," katanya.

Sementara itu, berhubung konvensyen berkenaan Rina turut meminta jasa baik NGO bersama-sama menguar-uarkan mengenai pelbagai program yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 4:10 PM