ANGGOTA polis mengiringi Tan Chee Keong, 44, ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan penipuan pelaburan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.  FOTO Hairul Anuar Rahim
ANGGOTA polis mengiringi Tan Chee Keong, 44, ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan penipuan pelaburan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pengarah syarikat dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan berkaitan kes penipuan pelaburan 'like & share', tahun lalu.

Tan Chee Keong, 44, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang wanita berusia 52 tahun dengan memperdayakan mengenai pelaburan itu wujud sehingga mendorong memasukkan wang berjumlah RM9,888 ke dalam dua akaun bank milik syarikat tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan antara 10 hingga 13 November 2020 di Jalan Persiaran Ara Kiri, Lucky Garden, Bangsar di sini.

Di mahkamah sama, Chee Keong turut berdepan dua lagi pertuduhan penipuan pelaburan sama membabitkan jumlah kerugian RM15,000.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu dan minta dibicarakan.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang wanita berusia 30 tahun dan seorang lelaki berusia 38 tahun.

Kedua-dua perbuatan itu masing-masing dilakukan di sebuah restoran di KLCC di sini, pada 12 November 2020 dan sebuah rumah di Ayer Panas, Wangsa Maju, antara 18 hingga 19 November 2020.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan sebutan semula pada 20 April depan.

Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu seorang lelaki berusia 37 tahun melalui pelaburan sama membabitkan kerugian RM5,512.

Perbuatan itu dilakukan antara 13 Oktober hingga 1 November 2020 di sebuah kondominium di Sentul, di sini.

Majistret Wong Chai Sia membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan sebutan semula pada 13 April.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Elyna Othman dan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 4:57 PM