Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Buruh kasar berusia 52 tahun dipenjara empat bulan dan dikenakan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyamar sebagai pekerja Istana Johor bagi tujuan menipu, tahun lalu.

Tertuduh, Augastin Alfred Netto, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang belum berkahwin itu didakwa menyamar dan memperdaya mangsa, Tan Bee Choo, 56, bahawa dia sebagai pekerja bahagian Unit IT Istana Johor dan menjadi orang tengah untuk mendapatkan potongan hutang untuk mangsa.

Perbuatan yang dilakukan tertuduh di No 8, Jalan Kancil, Taman Century di sini, kira-kira 12 tengah hari, 13 September 2015 itu mendorong mangsa menyerahkan RM37,000 kepadanya secara tunai.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimun tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 1:37 PM