GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Negara dijangka memerlukan RM280 bilion dana pelaburan bagi menaik taraf infrastruktur sektor air negara bagi kelangsungan jangka panjang bekalan air.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek naik taraf itu adalah bawah Agenda Transformasi Sektor Air Negara 2040.

Beliau berkata, ia berikutan sektor air negara dilihat memerlukan anjakan serta pendekatan baharu setanding dengan sektor utiliti lain.

"Ia perlu berkembang menjadi pemangkin yang kukuh untuk merangsang pulangan pelaburan kompetitif. Bawah Agenda Transformasi Sektor Air Negara 2040, saya menjangkakan sejumlah RM280 bilion dana pelaburan diperlukan untuk menaik taraf infrastruktur demi kelangsungan bekalan air jangka panjang.

"Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan agar satu kerangka model pendanaan baharu mesra pelabur perlu dikemukakan," katanya pada Majlis Ulang Tahun Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang pertama, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KASA Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Antara infrastruktur yang perlu dinaik taraf termasuk penukaran sistem paip air yang sudah usang serta pembinaan dan naik taraf empangan.

Sementara itu, Zaini berkata, sejumlah RM40 bilion diperlukan bagi kerja penukaran paip air yang sudah uzur di seluruh negara.

Beliau berkata, paip air akan sentiasa pecah kerana jangka hayatnya adalah sehingga 45 tahun.

Katanya, ada antara paip air di negara ini berusia 30 tahun dan perlu dibaiki bagi memberikan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna.

"Sektor air sampai 2040, kita perlukan RM280 bilion. Kita kena tukar loji, paip. Tukar paip saja kira-kira RM40 bilion di seluruh negara.

"Bayangkan nak tukar paip ke Kuala Lumpur, perlu korek jalan raya. Kemudian kita ada perkara lain (yang perlu diambil perhatian) seperti empangan yang sebahagian besarnya perlu dibina baharu, ditinggikan dan sebagainya. Justeru, kosnya adalah besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 5:52 PM