Siti Rohana Idris

Tumpat: Rombakan atau pengambilalihan syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bukan penyelesaian masalah, sebaliknya Kerajaan Persekutuan perlu membantu dalam aspek pembiayaan mengurus.

Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, masalah bekalan air bukan hanya dialami Kelantan kerana beberapa negeri lain termasuk Melaka juga memerlukan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, Kelantan mengakui tidak mampu dari segi kewangan, sebaliknya memerlukan pemberian geran supaya dapat menjalankan beberapa langkah contohnya Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dan penukaran paip baharu.

"Sebenarnya penyelesaian (masalah) bukan hanya pengambilalihan dan rombakan tapi laksanakan tanggungjawab yang belum dilaksanakan dan saya tengok kita perlu satu reformasi dari segi kaedah bekalan air seluruh negara.

"Masalah ini bukan Kelantan sahaja, (tapi) negeri lain pun teruk. Macam Melaka, sumber airnya kritikal, terpaksa beli air dari Johor, jadi bagi saya, Kerajaan Pusat bertanggungjawab untuk bantu.

"Pengambilalihan ini, walau akta ada hak tapi dari segi itu, kerajaan negeri mana-mana pun tak akan rela Kerajaan Persekutuan ambil, cuma bantu," katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Ceramah Mega Pakat Pertahan DUN Kelaboran di Padang Kemahkotaan, di sini, malam tadi.

TUAN Ibrahim. FOTO Siti Rohana Idris
TUAN Ibrahim. FOTO Siti Rohana Idris

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini memberitahu kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk melakukan rombakan atau mengambil alih AKSB jika usaha untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan tidak berhasil.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, tindakan rombakan dan pengambilalihan itu boleh dilakukan menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air (Wasia), namun ia adalah jalan terakhir dan keadaan kini belum sampai ke tahap berkenaan.

Menurutnya, isu air yang berlaku di Kelantan ada kaitan dengan sistem loji air yang perlu dinaik taraf.

"Sistem loji kita, kerajaan kita (pusat) kena biaya sebab kos besar, kerajaan negeri tak mampu, satu loji sampai RM200 juta hingga RM300 juta, loji ini sudah lama dan kena 'upgrade', (kerajaan) pusat perlu sediakan (kewangan).

"Saya sudah beritahu dulu (ketika menjadi Menteri KASA), Kerajaan Persekutuan perlu biayai RM2 bilion setahun kepada semua operator air seluruh negara untuk 'sustain'.

"Saya fikir PM (Perdana Menteri) sudah berjanji untuk membantu dan kalau diberi bantuan, boleh selesai, tak perlu rombakan apa-apa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 10:43 AM