GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penularan berterusan pandemik Covid-19 di negara ini terus menjejaskan industri pembinaan pada tahun ini tetapi kesannya lebih sederhana berbanding tahun lepas susulan antara lainnya pelancaran program vaksinasi yang disasarkan kepada pekerja binaan.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, pendekatan proaktif telah diambil oleh Kementerian Kerja Raya menerusi CIDB untuk meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan pekerja binaan.

"Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac), yang merupakan program vaksinasi khusus bagi pekerja binaan dilancarkan pada 1 Julai, 2021, dan dilaksanakan di lima negeri. Program CIVac berakhir pada 28 Sept, 2021 dengan 100,180 pekerja mendapat vaksin lengkap," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, kerajaan memastikan projek pembinaan mematuhi dengan ketat prosedur operasi standard (SOP) dan vaksinasi pekerja.

Juga, sejumlah 3,868 projek kerajaan bernilai RM30.1 bilion diberikan setakat October 2021, berbanding 3,653 projek bernilai RM25.9 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas susulan langkah kerajaan menyokong sektor tersebut.

"Bilangan dan nilai projek yang diberikan kerajaan pada 2021 dijangka meningkat. Harapnya trend ini juga akan diikuti oleh sektor swasta, yang mana lebih banyak projek swasta akan dilaksanakan.

"Kementerian Kerja Raya dengan kerjasama bersama CIDB, telah mengambil inisiatif untuk mempercepat program vaksinasi dalam kalangan pekerjaan binaan. Peningkatan kadar vaksinasi akan memudahkan lagi pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dan membolehkan keseluruhan rantaian bekalan pembinaan beroperasi," katanya.

Pemulihan selepas alami kerugian RM42 bilion

Menurut Ahmad Asri, industri pembinaan dianggarkan menanggung kerugian sebanyak RM42 bilion susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dari Mac 2020 sehingga sekarang.

"Sepanjang tempoh PKP 3.0 yang bermula pada Jun sehingga September 2021 kerugian dianggarkan berjumlah RM18 bilion. Baki RM24 bilion adalah kerugian daripada pelaksanaan PKP 1.0 pada 2020 yang menjejaskan kerja pembinaan dari Mac hingga Julai 2020. Kira-kira 10,000 projek terjejas akibat daripada pandemik itu," katanya.

Industri pembinaan Malaysia diunjur merekodkan pertumbuhan sebenar 9.2 peratus pada 2021, susulan penguncupan 19.4 peratus pada 2020. Ini berbanding unjuran sebelumnya pertumbuhan 11.2 peratus bagi tahun ini.

Semakan semula yang lebih rendah itu disebabkan terutamanya pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara pada Jun 2021 yang menjejaskan aktiviti pembinaan.

Pengeluaran industri pembinaan dijangka disokong oleh pemulihan ekonomi secara berperingkat, tumpuan untuk melengkapkan projek prasarana besar dan peningkatan pelaburan dalam projek perindustrian dan tenaga.

Industri itu dijangka mencatatkan pemulihan pada 2021, mengandaikan bahawa tiada pengulangan langkah pembendungan seperti dilaksanakan pada 2020 dengan pertumbuhan disokong oleh pelaburan dalam projek pengangkutan dan tenaga.

Sektor itu dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.8 peratus antara 2022 dan 2025.

Pada September 2021, kerajaan mengumumkan rancangan untuk mewujudkan model Perkongsian Awam-Swasta (PPP) 3.0 sebagai mekanisme khusus untuk membiayai projek infrastruktur bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dalam rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) antara 2021-2025.

Pada Jun 2021, kerajaan melancarkan rancangan peralihan tenaganya sehingga 2040, bertujuan untuk meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam jumlah campuran tenaga daripada 2.0 peratus pada 2019 kepada 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.

Sepanjang tempoh unjuran itu, pertumbuhan industri juga akan disokong oleh pemulihan keadaan ekonomi serta pelaburan dalam projek infrastruktur kediaman, perindustrian dan air.

Sebagai sebahagian daripada RMKe-12, kerajaan mengumumkan matlamatnya untuk membangunkan 120 bandar bagi mencapai status bandar mampan menjelang 2025 dengan menyediakan sokongan tambahan kepada projek sektor swasta yang melaksanakan program pembangunan strategik.

Kerajaan juga bercadang untuk membina 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025 sebagai sebahagian daripada RMKe-12.

Pada September 2021, kerajaan persekutuan meluluskan projek infrastruktur air Kelantan bernilai RM25.8 bilion.

Melangkah ke hadapan, Ahmad Asri berkata industri pembinaan Malaysia dijangka mencapai semula pertumbuhan positifnya susulan penerusan dan pecutan projek infrastruktur utama seperti yang diumumkan dalam RMKe-12.

"Projek infrastruktur seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3), Laluan Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 2 (MRT2), Landasan Berkembar Lembah Klang 2 (KVDT2), Sistem Transit Rapid Johor-Singapura (RTS), Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak serta projek hidroelektrik Baleh juga dijangka memacu pertumbuhan.

"Bajet 2022 memperuntukkan RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, iaitu 9.6 peratus lebih tinggi daripada Bajet 2021. Daripada jumlah ini, kira-kira RM25.3 bilion telah diperuntukkan untuk kerja pembinaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 10:26 AM