Tuan Ibrahim Tuan Man menandatangani plak denai kebangsaan pada Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 di Sungai Rembau Lubuk China, Rembau hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
Tuan Ibrahim Tuan Man menandatangani plak denai kebangsaan pada Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 di Sungai Rembau Lubuk China, Rembau hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Rembau: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan mewujudkan lebih banyak Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) sebagai mekanisme dalam berhadapan impak perubahan iklim terhadap sumber bekalan air negara.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata, negara sering mengalami dua keadaan cuaca yang ekstrim iaitu limpahan air yang banyak ketika musim tengkujuh dan kekurangan air ketika musim kemarau.

Katanya, pembinaan TAPS dilihat sebagai langkah terbaik boleh dilakukan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi berhadapan kedua-dua keadaan berkenaan.

"Kita lihat perlu ada satu mekanisme untuk manfaatkan air waktu ada supaya kita boleh guna (ketika) waktu tiada. Oleh itu kita perkenalkan TAPS.

"Kita bukan lagi buat empangan di hulu tetapi bina TAPS. Sekiranya berlaku apa-apa kepada sungai, contohnya pencemaran, loji rawatan tidak boleh beroperasi. Impak kepada penduduk sangat serius, apa alternatif kita sewaktu air sungai tidak boleh ambil?

"Jadi kita ada TAPS untuk kita ambil sebagai sandaran supaya pengguna tidak akan terputus bekalan," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 di Sungai Rembau, Lubok China, di sini, tadi.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Mansor Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan.

Ketua Pengarah Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah, dalam kenyataan baru-baru ini menegaskan berlaku kenaikan suhu purata harian di bahagian tengah Semenanjung Malaysia dalam tempoh sembilan tahun sehingga tahun lalu.

Perubahan iklim tempatan di kawasan sama juga menyebabkan jumlah hujan meningkat daripada 2,500 milimeter (mm) setahun pada 2011 menghampiri 3,000 mm pada 2019.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, KASA bersama Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri sedang merangka Pelan Transformasi Sektor Air 2040 dalam intipati Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau berkata, kerangka itu untuk menjadikan sektor air sebagai enjin pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Malaysia sebagai hub air serantau menjelang tahun 2040.

Katanya, KASA komited memastikan kecukupan sumber air dan jaminan bekalan air bersih kepada seluruh rakyat di negara ini menerusi pelan tindakan berkenaan.

"Negara dikurniakan sebanyak 2,986 lembangan sungai di seluruh negara yang menjadi sumber bekala air bersih untuk rakyat dengan purata taburan hujan tahunan melebihi 2,000 milimeter dan antara tertinggi di dunia. Kita perlu manfaatkannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 3:54 PM