Jururawat membuat penyediaan suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech sebelum disuntik kepada petugas barisan hadapan. FOTO ASYRAF HAMZAH
Jururawat membuat penyediaan suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech sebelum disuntik kepada petugas barisan hadapan. FOTO ASYRAF HAMZAH
Melvin Joni


Bau: Sarawak sudah menjalankan vaksinasi kepada lebih 13,000 petugas barisan hadapan setakat ini dan ia jumlah tertinggi di Malaysia.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini menunjukkan program, susunan dan jentera vaksinasi Sarawak di lapangan adalah efisien serta efektif.

"Kita sekarang nombor satu di negara ini dari segi jumlah petugas barisan hadapan yang sudah divaksin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat bilik operasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Covid-19 di Kampung Tringgus di sini, hari ini.

Uggah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Sarawak juga sudah menyiarkan rancangan induk vaksinnya sebulan lebih awal daripada negeri lain.

"Itulah sebabnya anda dapat melihat papan iklan kami di seluruh negeri menasihatkan orang ramai untuk melakukan vaksinasi.

"Pejabat Residen dan Daerah berkempen secara aktif untuk vaksinasi dan mendaftarkan orang ramai," katanya.

Mengenai fasa kedua program vaksinasi Sarawak, beliau berkata, ia dijangka bermula bulan depan, namun bergantung kepada bekalan vaksin daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, fasa kedua ini akan menjadi sangat besar dan mencabar kerana membabitkan vaksinasi sekitar dua juta penduduk yang bersetuju dan layak.

"Mereka akan turut merangkumi ekspatriat serta pekerja asing yang sah dan tidak sah kerana akan menjadi masalah jika mereka tidak divaksinasi," katanya.

Uggah berkata, Sarawak menyasarkan menyelesaikan program vaksinasi pada Ogos nanti, namun ini juga bergantung kepada bekalan vaksin yang diperoleh.

Katanya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memperuntukkan dana untuk Sarawak membeli vaksin sendiri sekiranya bekalan daripada Kerajaan Persekutuan tidak mencukupi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 2:34 PM