DATUK Amar Douglas Uggah Embas (dua, kanan) meninjau proses pemberian vaksin fasa kedua di Stadium Perpaduan Petra Jaya, hari ini. FOTO BERNAMA
DATUK Amar Douglas Uggah Embas (dua, kanan) meninjau proses pemberian vaksin fasa kedua di Stadium Perpaduan Petra Jaya, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuching: Kerajaan persekutuan sudah meluluskan permintaan kerajaan negeri Sarawak untuk membeli sendiri vaksin Covid-19 bagi kegunaan rakyatnya, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata kelulusan itu diberi susulan pertemuan beliau dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin di Putrajaya, baru-baru ini.

Sehubungan it katanya Kumpulan Penasihat Covid-19 Sarawak (SCOVAG) diberi tanggungjawab melakukan perbincangan dengan pembekal vaksin bagi tujuan tersebut.

"… jadi kita sekarang sedang berbincang dengan pihak dan badan berkaitan supaya kita boleh menyelesaikan pembelian vaksin yang akan digunakan sebagai simpanan sekiranya ada masalah pembekalan dari Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Stadium Perpaduan Petra Jaya, di sini hari ini.

Seramai 1,278 individu daripada golongan berisiko tinggi dan warga emas berusia lebih 60 tahun dijadualkan menerima suntikan vaksin di stadium tersebut hari ini.

Pada 18 Mac lalu, Uggah dilaporkan berkata Sarawak sudah menghantar surat kepada kerajaan persekutuan mengenai hasrat Sarawak untuk membeli sendiri vaksin Covid-19 bagi negeri itu.

Sementara itu, mengulas mengenai pendaftaran Program Imunisasi negeri Sarawak, Uggah berharap kerajaan persekutuan boleh menerima pendaftaran secara manual yang membabitkan penduduk di luar bandar.

Katanya kebanyakan penduduk di kawasan luar bandar di Sarawak tidak mempunyai kemudahan telefon pintar untuk melakukan pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera dan hanya boleh mendaftar melalui pejabat residen dan daerah.

"Kita juga ada meminta mereka yang berada di luar bandar untuk mendaftar menggunakan telefon milik pejabat daerah atau residen. Apabila mereka menerima janji temu untuk divaksin, maka pegawai di pejabat berkenaan akan menghubungi penerima itu," katanya.

Seramai 929,435 individu disasarkan menerima vaksin bagi Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Sarawak yang bermula Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 1:47 PM