GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


Simanggang: Lebih ramai doktor, jururawat serta kakitangan bukan perubatan lain diperlukan untuk mempercepatkan program imunisasi Covid-19 di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebuah jawatankuasa sudah dibentuk untuk meneliti jumlah kakitangan yang diperlukan di semua bahagian di negeri ini.

Beliau berkata, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Sabariah Putit akan mengetuai jawatankuasa itu bagi menangani perkara terbabit.

"Kita memerlukan tenaga kerja tambahan ini untuk meningkatkan keupayaan vaksinasi secara menyeluruh.

"Ini kerana kita sedang berusaha untuk menyelesaikan program imunisasi di Sarawak pada Ogos ini," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Vaksinasi Pusat Sivik Sri Aman, di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, antara langkah lain yang diambil bagi menampung keperluan itu ialah mendapatkan sumber manusia dari fakulti perubatan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Segi College Sarawak.

Menurutnya, dengan tenaga kerja tambahan, Sarawak dijangka dapat memberikan sekitar 60,000 dos vaksin Covid-19 setiap hari.

Sementara itu, beliau berkata, kaedah 'walk in' untuk mendapatkan vaksin hanya dibenarkan di kawasan pedalaman sahaja.

"Menerusi kaedah itu, penduduk rumah panjang atau kampung di pedalaman itu akan mendaftar diri untuk direkodkan data selepas mendapat vaksinasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 6:33 PM