Mohd Amin Jalil

Rembau: Hanya 585 vial (bebuli) vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech dipulangkan semula kepada syarikat itu selepas didapati rosak ketika dibawa ke negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin, berkata dos vaksin itu rosak ketika dalam perjalanan dari kilang di Belgium ke Malaysia.

Menurutnya, vaksin itu perlu disimpan dalam suhu kadar serendah negatif 70 darjah Celsius (-94 Fahrenheit) dan ke bawah.

"Suhu penyimpan vaksin itu berubah dan meningkat daripada negatif 70 kepada yang tidak boleh diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Jadi 585 vial (bebuli) vaksin itu dipulangkan semula kepada syarikat Pfizer. Bagaimanapun jika mengambil kira jumlah dos vaksin yang diterima mencecah 500,000, nisbah itu adalah kecil.

"Pfizer akan menggantikannya semula dos yang dipulangkan itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Rembau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS), Datin Dr Harlina Abdul Rashid.

KHAIRY Jamaluddin pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Rembau. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
KHAIRY Jamaluddin pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Rembau. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, setakat ini tiada kes kesihatan yang serius membabitkan penerima vaksin sebaliknya ia hanya alahan kecil dan dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Menurutnya, setakat ini sekitar 150,000 individu terutama membabitkan petugas barisan hadapan sudah menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama.

Katanya, proses suntikan vaksin fasa pertama ketika ini tidak perlu dipercepatkan kerana kadar ketika ini sudah dianggap yang terbaik selain ia juga bergantung kepada penjadualan penghantaran dos daripada pembekal.

"Jika jadual penghantaran vaksin dapat dibuat sepenuhnya pada Mac seperti dijanjikan pembekal, maka pada akhir bulan ini kita dapat selesaikan sekurang-kurangnya dos pertama kepada penerima yang tersenarai fasa pertama.

"Tapi kalau ada kelewatan sedikit daripada pihak Pfizer, sudah tentu ia akan berganjak ke bulan April," katanya.

VAKSIN Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech. FOTO Arkib NSTP
VAKSIN Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech. FOTO Arkib NSTP

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menegaskan pemberian suntikan fasa ketiga dijangka boleh mencecah sehingga 150,000 sehari.

Beliau berkata, perkara itu boleh dilakukan apabila telah ditubuhkan pusat imunisasi membabitkan stadium dan dewan orang ramai.

"Buat masa ini tidak perlu kadar yang terlalu tinggi kerana kita hendak selesaikan dulu petugas barisan hadapan.

"Fasa ketiga, insya-Allah kita akan sampai pada kadar 150,000 sehari," katanya yang memaklumkan vaksin Sinovac keluaran China dijadualkan tiba di negara ini pada 15 Mac depan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 8:57 PM