Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tiga daripada 11 individu yang dipercayai terbabit dengan insiden rusuhan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan semalam, ditahan dalam serbuan di sekitar ibu negara, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 27 hingga 35 tahun ditahan menerusi operasi khas, kira-kira 1 pagi.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 malam ketika restoran sudah menutup operasinya, sebelum didatangi sekumpulan individu terbabit.

"Difahamkan ia berlaku akibat rasa tidak puas hati kumpulan berkenaan yang tidak dibenarkan untuk makan di restoran itu hingga menyebabkan rusuhan terbabit.

"Dalam kes ini, pihak restoran berkenaan bertindak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak beroperasi selepas jam 10 malam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Suntikan Vaksin Covid-19 Polis Kuala Lumpur di Kuarters Klinik Kesihatan Jinjang di sini, hari ini.

Saiful Azly berkata, pihaknya sedang mengesan individu lain yang terbabit untuk siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata.

LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan sekumpulan lelaki membuat kecoh di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan di sini, semalam, dengan membaling kerusi dan meja.

Tindakan kumpulan berkenaan yang dilihat mengamuk itu turut tular di media sosial, hari ini.

Berita berkaitan

Mengamuk sebab tak dapat makan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 1:24 PM