Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Intip pergerakan mangsa selama tiga hingga lima hari. Itu tindakan dilakukan tiga penjenayah sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM1.6 juta di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Kepong, di sini, pada 8 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan dibuat pekerja syarikat pengurusan mata wang krypto berhubung kejadian itu.

"Ketika kejadian, mangsa dikatakan membawa wang tunai RM1.6 juta yang diletakkan di dalam beg plastik berwarna hitam sebelum diserang dua lelaki yang bertindak menumbuk perut dan menyembur matanya lalu merampas bungkusan plastik terbabit.

"Dua penjenayah berkenaan kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Myvi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Saiful Azly berkata, hasil siasatan dilakukan membawa kepada penahanan tiga suspek berusia 31 hingga 42 tahun dipercayai terbabit dalam kejadian itu di tiga lokasi berasingan di ibu kota pada 16 Oktober lalu.

"Hasil soal siasat kami berjaya merampas wang tunai berjumlah RM1.03 juta, beberapa ketulan emas, barang kemas, telefon bimbit serta sebuah kereta Perodua Myvi.

"Menurut keterangan suspek, dia membuat pembayaran penuh bagi pinjaman kereta Perodua Myvi miliknya menggunakan wang berkenaan.

"Mereka dikatakan mengikuti setiap pergerakan mangsa selama tiga hingga lima hari termasuk laluan yang dilaluinya setiap hari," katanya.

Katanya, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan mereka direman sehingga 22 Oktober ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

"Saya menasihatkan mana-mana pihak yang berurusan dengan wang tunai supaya tidak menggunakan laluan sama serta mengupah pengawal keselamatan bagi mengelak mereka menjadi mangsa samun," katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin (dua dari kanan) bersama wang dan barang kes samun dan bunuh pada sidang media di IPD Sentul, Turut hadir, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP S. Shanmugamoorthy Chinniah (tengah). FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin (dua dari kanan) bersama wang dan barang kes samun dan bunuh pada sidang media di IPD Sentul, Turut hadir, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP S. Shanmugamoorthy Chinniah (tengah). FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 1:41 PM