Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis menerima dua laporan berkaitan skim pelaburan 'Like dan Share' membabitkan kerugian bernilai hampir RM20,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, dua laporan itu dibuat seorang lelaki bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat dan seorang wanita berpangkat pengarah.

"Susulan itu satu serbuan dilakukan ke atas premis berkenaan di sekitar ibu kota dan mendapati pejabat berkenaan kosong.

"Pengarah syarikat itu mendakwa kerugian RM9,888 manakala eksekutif terbabit pula mendakwa mengalami kerugian RM10,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Saiful berkata, hasil siasatan dan risikan yang dilakukan kita mendapati premis terbabit sudah ditutup sejak 9 November lalu.

"Polis sudah mengenalpasti individu warga tempatan yang menjadi dalang skim pelaburan berkenaan hasil risikan dijalankan.

"Orang ramai dingatkan supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan duit mudah yang dijanjikan sindiket pelaburan,"katanya.

Saiful Azly (dua kanan) menunjukkan sebahagian peralatan sindiket penipuan dan judi online yang dirampas ketika sidang media di IPK Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Saiful Azly (dua kanan) menunjukkan sebahagian peralatan sindiket penipuan dan judi online yang dirampas ketika sidang media di IPK Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim

Dalam perkembangan lain, Saiful Azly berkata, pihaknya juga menjalankan tiga serbuan sekitar ibu kota membabitkan kes tipu dan judi dalam talian, Jumaat lalu.

Katanya, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Risikan Operasi IPK Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Siber Multimedia dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

"Serbuan dilakukan di dua premis kondominium di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, hasil serbuan di kedua-dua premis berjaya menahan sembilan individu.

"Dalam serbuan pertama itu, polis berjaya menahan empat lelaki warga China berusia antara 30 hingga 40 tahun serta merampas pelbagai peralatan telekomunikasi," katanya.

Menurutnya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama Bahagian Risikan JSJK Bukit Aman menyerbu beberapa bilik di sebuah hotel di Bukit Bintang dipercayai terbabit judi dalam talian.

"Hasil serbuan berjaya menangkap keseluruhan 29 individu terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita warga tempatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 6:18 PM