GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


Butterworth: Tujuh pasangan ditahan berkhalwat di beberapa hotel tiga bintang sekitar Kampung Benggali dan Bagan Luar di sini, semalam.

Mereka ditahan dalam Ops Cegah yang dijalankan pihak polis itu bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) pada 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata, operasi itu dilakukan bagi mencegah jenayah dan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, kesemua yang ditahan itu berusia antara 25 hingga 40 tahun dan pasangan yang tidak mempunyai ikatan mahram itu kemudiannya dibawa ke pejabat agama bagi tindakan lanjut.

"Pemeriksaan yang dijalankan di hotel dan restoran mendapati tiada kesalahan langgar SOP direkodkan tetapi tindakan saman dikeluarkan terhadap pemilik yang melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Noorzainy menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP Covid-19 dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mereka yang sengaja mengingkari peraturan yang ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 6:31 PM