POLIS menahan 10 remaja yang didapati berparti di dalam bilik sebuah hotel dalam operasi pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB. FOTO Ihsan PDRM
POLIS menahan 10 remaja yang didapati berparti di dalam bilik sebuah hotel dalam operasi pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Sepuluh individu membabitkan enam lelaki dan empat perempuan ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan menjadikan sebuah bilik hotel di Butterworth di sini, sebagai lokasi berparti, pada operasi jam 1.15 pagi tadi.

Dalam operasi pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB itu, kesemuanya yang berusia 15 hingga 23 tahun didapati sedang berhibur dalam bilik hotel terbabit tanpa mematuhi SOP.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan dijalankan di tingkat lapan hotel terbabit sebelum kegiatan itu terbongkar.

"Individu membabitkan enam lelaki dan empat perempuan itu sedang leka berhibur dan secara jelas melanggar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Tidak cukup dengan itu, ujian saringan air kencing mendapati lima daripada mereka positif dadah," katanya pada kenyataan.

Noorzainy berkata, polis turut mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada setiap individu terbabit.

"Lima yang positif dadah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 3:20 PM