Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Medan selera di Jalan Raja Uda, di sini diarah tutup selama tujuh hari kerana kegagalan pemiliknya untuk memastikan pelanggannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Arahan penutupan dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika membuat pemantauan pematuhan SOP bersama polis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermula jam 9 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemantauan itu giat dijalankan susulan peningkatan kes Covid-19 membabitkan premis seumpama itu.

"Dalam pemeriksaan itu, sebanyak 10 kompaun dikeluarkan ke atas pelanggan yang mengunjungi premis dan pasar awam sekitar ini kerana mengingkari SOP antaranya tidak menggunakan aplikasi MySejahtera.

"Sementara itu, KKM mengarahkan sebuah pusat makanan dan minuman ditutup selama tujuh hari sehingga Khamis depan kerana pemiliknya turut gagal memastikan pekerja dan pelanggan mematuhi SOP, selain melakukan pencegahan supaya wabak tidak merebak ," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua kompaun yang dikeluarkan adalah mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 9:20 PM