Ahmad Fadhli Shaari menghadiahkan kereta Proton Saga terpakai kepada  Nor Ain Ramli. FOTO / IHSAN AHLI PARLIMEN
Ahmad Fadhli Shaari menghadiahkan kereta Proton Saga terpakai kepada Nor Ain Ramli. FOTO / IHSAN AHLI PARLIMEN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: "Rabu lalu, saya hampir pasrah walaupun sangat sedih melihat satu-satunya kereta Mywi milik kami sekeluarga musnah dalam kejadian tanah runtuh.

"Namun hari ini, saya dikejutkan dengan berita gembira apabila Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari membuat kejutan menghadiah sebuah kereta Proton Saga," luah Nor Ain Ramli, 33, mangsa tanah runtuh di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Rabu lalu.

Nor Ain yang bekerja sebagai kerani di sebuah kedai motosikal berkata, selepas kehilangan kereta dalam kejadian itu, dia tidak pernah mengimpikan untuk membeli kereta baharu memandangkan perlu menanggung pinjaman bulanan selama empat tahun lagi.

"Semestinya saya tidak mampu membeli kenderaan lain melainkan hutang kereta ini sudah langsai. Hari ini saya diminta hadir sebagai penerima bantuan sebanyak RM2,000 oleh Ahli Parlimen Pasir Mas.

"Ketika majlis penyerahan bantuan, saya dimaklumkan akan menerima sebuah kereta. Allahuakbar, saya sangat terkejut dan terharu. Saya seperti tidak percaya akan mendapat kereta baru dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi.

Nor Ain turut berterima kasih kepada Ahli Parlimen Pasir Mas yang begitu prihatin dengan masalah yang dihadapi dia sekeluarga.

"Saya hanya mempunyai sebuah kereta untuk bekerja dan mengambil anak sekolah. Terima kasih kepada Ahli Parlimen Pasir Mas atas sumbangan yang tidak terhingga dan sangat bermakna walaupun kereta terpakai," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, majlis kejutan itu dibuat ketika beliau menjemput penduduk yang terjejas akibat tanah runtuh hadir menerima bantuan sebanyak RM2,000.

Katanya, beliau memahami masalah dan kesulitan dialami Nor Ain sekeluarga apabila kenderaannya terjejas akibat kejadian tanah runtuh itu dan tiada perlindungan insuran untuk bencana alam.

"Sehubungan itu, kita memperuntukkan sebuah kereta Proton Saga terpakai untuk kegunaan hariannya. Semoga ia sedikit sebanyak mengubat luka dan duka akibat tragedi yang tidak diduga ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 100 penduduk di Kampung Pohon Celagi, dipindahkan selepas berlaku tebing runtuh sepanjang 200 meter, Rabu lalu.

Runtuhan berlaku bermula 2.30 sehingga 6.30 pagi itu turut mengakibatkan empat rumah ranap dipercayai disebabkan terjahan air Sungai Kelantan ke benteng berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 4:47 PM