Nor Fazlina Abdul Rahim

Pasir Mas: Seramai 50 penduduk di Kampung Jalan Pohon Celagi, di sini, dipindahkan serta merta selepas berlaku kejadian tanah runtuh sepanjang 200 meter di tebing Sungai Kelantan berhampiran Dataran Air Muleh awal pagi tadi.

Runtuhan berlaku bermula 2.30 pagi sehingga 6.30 pagi itu turut mengakibatkan sebuah rumah runtuh dipercayai disebabkan terjahan air Sungai Kelantan ke benteng berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata pihaknya menerima maklumat berlaku rekahan sejak dua hari lalu sebelum rekahan terbabit semakin ketara mulai malam tadi.

"Susulan itu kita sudah mengambil langkah awal dengan menutup jalan di kawasan terbabit bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Runtuhan mula berlaku mulai 2.30 pagi hingga 6.30 pagi dan sehingga kini masih berlaku pergerakan tanah menyebabkan semua penduduk diminta berpindah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

KEADAAN runtuhan tebing dan jalan di Kampung Jalan Pohon Celagi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KEADAAN runtuhan tebing dan jalan di Kampung Jalan Pohon Celagi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hanifa Ahmad berkata, kawasan yang terjejas dianggarkan sepanjang 500 meter termasuk 200 meter kawasan runtuhan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir sudah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat laporan sebelum dikemukakan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

"Kita akan menggunakan dewan badminton di sini untuk dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh memuatkan 80 orang.

"Sekiranya lebih ramai penduduk yang diminta berpindah, kita akan membuka satu lagi dewan di sekolah untuk penempatan sementara mereka," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, runtuhan itu berlaku disebabkan terjahan air Sungai Kelantan ke tebing berkenaan.

"Tindakan segera akan diambil kerana sekiranya runtuhan tebing itu semakin teruk, ia akan menjejaskan sebahagian besar bandar Pasir Mas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 11:12 AM