Nor Fazlina Abdul Rahim

Pasir Mas: Kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM60 juta bagi membaik pulih tebing Sungai Kelantan di sini yang runtuh sejak 17 Februari lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek membaik pulih tebing berkenaan akan dilakukan dengan kadar segera dan dijangka dapat disiapkan akhir Oktober ini.

Menurutnya, peruntukan itu termasuk untuk kerja pengambilan tanah sebanyak 20 lot, pembinaan struktur penahan tebing, pembaikan cerun dan pembinaan rumah pam.

"Saya sudah membawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet bagi menyelamatkan situasi dan sukacita dimaklumkan diluluskan peruntukan segera sebagaimana yang dipohon kerajaan negeri.

"Projek berkenaan akan dilakukan secepat mungkin bagi mengelak monsun timur laut pada akhir tahun ini.

"Sekiranya ketika monsun melanda dan projek belum lagi siap, kita khuatir apa yang kita bina akan hilang dan mengalami kerugian lebih besar," katanya.

Tuan Ibrahim diiringi oleh Pengarah JPS Kelantan Kamal Mustapha (kanan) ketika meninjau tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas yang runtuh. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Tuan Ibrahim diiringi oleh Pengarah JPS Kelantan Kamal Mustapha (kanan) ketika meninjau tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas yang runtuh. Foto Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan di lokasi runtuhan tebing di Kampung Pohon Celagi di sini, hari ini. Hadir sama Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akan mengambil keseluruhan kawasan berkenaan yang membabitkan kos RM8 juta.

"Lokasi berkenaan akan dibangunkan untuk kawasan rekreasi supaya menjadi tarikan baru kepada penduduk di sini," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menolak kemungkinan kerja mengorek pasir yang menyebabkan berlaku runtuhan berkenaan.

"Berdasarkan kajian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), berlaku mendapan selain kawasan bawah di benteng berkenaan paling sempit yang menyumbang kepada runtuhan.

"Benteng berkenaan dibina sejak 1982 lagi, namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya yang turut berterima kasih kepada kerajaan negeri yang mengambil inisiatif awal memindahkan penduduk di kawasan berkenaan.

Sebelum ini dilaporkan seramai 100 penduduk di Kampung Pohon Celagi terpaksa dipindahkan selepas berlaku tebing runtuh sepanjang 500 meter.

Runtuhan berlaku bermula pada 2.30 sehingga 6.30 pagi itu turut menyebabkan beberapa rumah ranap dipercayai disebabkan terjahan air Sungai Kelantan ke benteng berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 11:20 AM