RUNTUHAN tebing Sungai Kelantan yang memerlukan tindakan segera. FOTO Arkib NSTP.
RUNTUHAN tebing Sungai Kelantan yang memerlukan tindakan segera. FOTO Arkib NSTP.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan negeri memerlukan RM60 juta bagi membaik pulih runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Jalan Pohon Celagi, Pasir Mas, 17 Februari lalu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, peruntukan itu bagi membolehkan kerja pembangunan semula tebing termasuk meletakkan batutebing sungai dibangunkan kembali termasuk meletakkan batu penghalang.

Katanya, ketika ini pihaknya masih belum memutuskan sama ada peruntukan berkenaan dikeluarkan kerajaan negeri atau Persekutuan.

"Namun, masalah ini akan diselesaikan dalam masa terdekat memandangkan runtuhan yang berlaku memerlukan tindakan mendesak.

"Buat masa ini, kita masih dalam pertimbangan untuk membina penempatan sementara kepada penduduk yang terjejas dengan runtuhan itu atau menggantikan dengan rumah baharu," katanya.

Beliau ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, bagi penduduk yang menyewa, pihaknya akan mempertimbangkan pemberian bantuan kewangan.

"Mungkin kerajaan negeri atau wakil rakyat akan menanggung bayaran sewa rumah penduduk terjejas dalam kejadian itu bagi tempoh enam bulan. Apapun kita akan putuskan perkara ini dalam tempoh terdekat.

"Sehingga kini, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan sedang mengenal pasti punca sebenar runtuhan dan dimaklumkan tiada lagi pergerakan tanah berlaku," katanya.

Media semalam melaporkan, kira-kira 100 penduduk di Kampung Jalan Pohon Celagi, Pasir Mas dipindahkan selepas berlaku tebing runtuh sepanjang 200 meter, pada Rabu minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 3:03 PM