Uwais
Uwais
Safar Ahmad

Makkah: Sejak di tingkatan satu dia menabung lebihan wang saku yang diberikan ibu untuk perbelanjaan sekolah.

Baginya walaupun tidak banyak, sekurang-kurangnya ia dapat menampung sedikit sebanyak perbelanjaan di Tanah Suci nanti.

Tidak seperti kebanyakan remaja seusianya, Uwais al-Qarni Awang Kechik, 17, sudah dua kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Memang perbelanjaan ke sini ditanggung bapa, tapi saya juga ada menyimpan sedikit wang sejak tingkatan satu daripada wang belanja sekolah,” katanya.

Anak peneroka FELDA Chini ini juga membawa pesanan daripada gurunya yang meminta dia berdoa di depan Kaabah supaya semua rakan yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi memperoleh keputusan cemerlang.

“Saya sendiri akan menduduki SPM sebaik pulang mengerjakan haji, malah saya juga membawa beberapa buku dan nota pelajaran ke sini.

“Saya akan mencuri masa menelaah pelajaran,” kata pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chini Timur ini ketika ditemui di Hotel Al-Haram di Madinah.

Uwais yang mendaftar haji sejak sembilan tahun lalu datang bersama bapanya Awang Kechik Ngah, 61, dan ibu Badariah Mamat, 54.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 9:09 AM