Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan meluluskan Bantuan Kanak-kanak sebanyak RM900 sebulan kepada lima beradik di Kubang Terap, Pasir Mas selepas ibu bapa mereka ditahan kerana dadah.

Pengarahnya, Said Sidup berkata, pihaknya turut menyampaikan sumbangan tabung bantuan segera sebanyak RM300 kepada nenek mereka sebagai perbelanjaan ketika lawatan pihaknya ke rumah keluarga itu, semalam.

Katanya, hasil lawatan mendapati dua daripada adik beradik itu masing-masing berusia 12 dan 11 tahun sudah dua tahun tidak bersekolah, justeru pihaknya akan berbincang dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memastikan mereka boleh kembali belajar.

"Selain itu, adik mereka yang bongsu tidak memiliki MyKid dan kami tidak dapat mengenal pasti punca sebenar masalah ini susulan kedua-dua ibu bapa mereka masih dalam tahanan. Namun, satu perbincangan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diatur untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Buat masa ini, kami mendapati nenek dan datuknya yang layak dan sesuai menjaga cucu mereka, tetapi sekiranya tidak cakna atau berlaku pengabaian terhadap lima beradik ini, kami akan membuat cadangan ke mahkamah untuk mereka ditempatkan di pusat kebajikan.

"Bagaimanapun, tindakan berkenaan adalah pilihan terakhir memandangkan kita juga mahu yang terbaik buat anak-anak ini selain JKM sendiri akan memantau dari semasa ke semasa untuk kes ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan kanak-kanak berusia 11 tahun yang terpaksa menjaga tiga adiknya berusia setahun sehingga enam tahun dibantu abangnya berusia 12 tahun di rumah serba daif selepas ibu bapa mereka ditangkap akibat dadah.

Mengulas lanjut, Said berharap, sumbangan kewangan serta Bantuan Kanak-Kanak yang diberikan JKM boleh membantu anak itu selain meringankan beban datuk dan nenek mereka agar dapat menjaga cucu dengan lebih baik.

"Biasanya, JKM menjalinkan kerjasama baik dengan pemimpin di kawasan kampung seperti penghulu atau penggawa untuk mendapat maklumat jika terdapat isu sebegini dan orang ramai juga boleh menghubungi E-kasih di talian 15999 untuk melaporkan sebarang kes kepada pihak kami.

"JKM akan terus membantu sebaiknya golongan layak menerima bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk media tempatan juga penting dalam menyalurkan maklumat agar tiada kes yang terlepas pandang," katanya.

Berita berkaitan

'Jangan pisahkan kami' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 1:05 PM